PH, UMNO Pulau Pinang bincang lagi agihan kerusi

PH, UMNO Pulau Pinang bincang lagi agihan kerusi

PH dan Barisan Nasional (BN) perlu bekerjasama jika mahu menang PRU16.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Pakatan Harapan (PH) dan UMNO Pulau Pinang dijangka mengadakan mesyuarat kedua ming­gu depan bagi meneruskan perbincangan pembahagian kerusi menjelang pilihan raya negeri (PRN).

Pengerusi PH Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, be­liau berharap mesyuarat ke­dua itu akan membuahkan hasil dengan mendapat persetujuan kedua-dua pihak berhubung hal-hal berkaitan PRN.

‘’Kita masih belum tetapkan (tarikh mesyuarat), namun dalam masa terdekat. Kita pun tidak ada masa lagi, mungkin minggu ini atau ming­gu depan,’’ katanya selepas majlis pengakuan pene­rimaan jawatan Datuk Bandar MBPP di Dewan Bandaraya, di sini semalam.

Pada 2 Mei lalu, UMNO dan PH Pulau Pinang mengadakan pertemuan buat pertama kali bagi membincangkan mengenai soal pembahagian kerusi dan isu-isu berkaitan PRN.

Pada mesyuarat itu, PH dan UMNO Pulau Pinang mencapai persetujuan untuk tidak bertanding sesama sendiri pada PRN akan datang.

Pulau Pinang mempunyai 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan pada pilihan raya umum 2018, PH telah memenangi 37 kerusi, termasuk kerusi-kerusi DUN daripada calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang ketika itu masih menjadi sebahagian daripada PH.

BN menang dua kerusi DUN iaitu Sungai Dua dan Permatang Berangan, manakala Pas mempunyai satu kerusi, Penaga.

Menurut Kon Yeow, setakat ini hasil mesyuarat pertama belum dibawa ke peringkat pimpinan Pusat PH mahupun UMNO.

“Ini kerana selagi peringkat negeri boleh selesaikan, kita selesaikan di peringkat negeri sahaja. Kita cuma akan me­laporkan pencapaian yang kita perolehi sahaja kepada Pusat.” – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×