KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu menghormati hak rakyat memilih ahli Parlimen termasuk peruntukan yang sepatutnya mereka terima.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, parti yang menjadi kerajaan perlu menepati janji sewaktu berkempen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) untuk menyalurkan peruntukan sama rata kepada ahli-ahli Parlimen lain khususnya pembangkang.
“Saya lihat kerajaan mesti melaksanakan reformasi sebagaimana yang diperjuangkan.
“Hormati keputusan rakyat yang telah memilih wakil mereka, maka peruntukan kepada pembangkang mesti terus disalurkan,” katanya semalam.
Sebelum ini Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, Kerajaan Perpaduan pada dasarnya bersedia menyalurkan peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang, namun ia hanya membabitkan perbelanjaan berkaitan pentadbiran.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, rundingan berkaitan peruntukan berkenaan sedang dilakukan Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Bagaimanapun, Fadillah berkata, pembangkang tetap perlu mengemukakan cadangan serta tawaran kepada kerajaan berhubung isu pengagihan peruntukan kepada Ahli Parlimen mereka.
Dalam pada itu, Tuan Ibrahim berkata, beliau tidak terlibat dalam Jawatankuasa Perundingan, cuma difahamkan kerajaan sepatutnya terus menyalurkan peruntukan kepada pembangkang.
“Jumlah mengikut peruntukan kepada ahli Parlimen kerajaan. Ini janji mereka semasa kempen dahulu,” ujarnya.
Sementara Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim mendakwa, kerajaan telah menyalahguna kuasa kerana menggunakan wang rakyat yang hanya disalurkan kepada ahli Parlimen kerajaan sahaja.
“Memang kerajaan hari ini salah guna duit rakyat kerana peruntukan sepatutnya diberikan kepada semua ahli Parlimen, bukan kepada PH sahaja. Parti lain pun wujud di dalam negara ini mengikut undang-undang yang ditetapkan. Kenapa kami sehingga hari ini masih tidak dapat,” katanya. – UTUSAN











