PUTRAJAYA: Kerajaan menganggarkan negara mampu memperoleh pelaburan besar bidang tenaga boleh baharu (TBB) lebih setengah trilion ringgit dalam masa tiga dekad.
Malahan menurut Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, tinjauan menerusi laporan Malaysia Energy Transition Look juga mengunjurkan nilai pelaburan boleh mencecah RM637 bilion.
“Anggaran ini berdasarkan peningkatan kapasiti TBB baharu sehingga tahun 2050 sejajar dengan Pelan Pembangunan Penjanaan Negara,” katanya pada sidang akhbar, semalam.
Turut hadir, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad sebelum mereka menghadiri Majlis Hari Raya Lestari di Wisma Sumber Asli di sini.
Kedua-dua kementerian itu bekerjasama menambah baik kerangka dasar dan kawal selia melibatkan ekonomi hijau serta memudah cara dan menggalakkan pelaburan berkaitan.
Mengulas lanjut, Rafizi berkata, secara khusus dua kementerian tersebut meneliti proses sedia ada agar peraturan semasa tidak melemahkan keperluan ekonomi hijau negara.
Justeru, satu memorandum mengenai hala tuju TBB dibangun dan dibentangkan kepada mesyuarat Kabinet pada 3 Mei lalu susulan pelbagai sesi libat urus dengan pihak pemain.
Jemaah menteri ujar beliau, bersetuju agar kapasiti ditingkat bagi mewujudkan peluang pertumbuhan dan merancakkan industri itu di samping memastikan jaminan bekalan cukup.
“Kita jangka banyak pelaburan baharu meliputi antaranya sumber penjanaan, pengukuhan prasarana grid termasuk sambung tara, integrasi sistem dan sistem penyetoran,” katanya.
Dengan perkembangan itu kata Rafizi, kapasiti pembekalan elektrik di seluruh negara secara TBB bakal diunjurkan melonjak kepada kira-kira 70 peratus menjelang 2050.
Situasi itu dijangka membolehkan lebihan kapasiti dijana itu dapat didagangkan merentas sempadan negara jiran dengan turut merealisasikan hasrat ke arah ASEAN Power Grid.
Setakat akhir tahun lalu, jumlah kapasiti TBB dalam pembekalan elektrik negara hanya 25 peratus atau 9,860 MW manakala kadar terpasang cuma 19 peratus atau 5,800 MW.
Sehubungan itu, kerajaan jelas beliau, menetapkan sasaran baharu kapasiti peralihan kepada TBB bakal bertambah kepada 11 kali ganda mulai tahun ini sehingga 2050.
Apatah lagi tambah Rafizi, keputusan kerajaan membatalkan halangan perdagangan TBB merentas sempadan bakal memanfaatkan firma Malaysia mengeksport ke negara jiran.
Beliau bahkan optimis ia turut akan memberikan kesan segera kepada prospek industri TBB terutama perluasan melalui sistem kendiri yang memaksimumkan potensi tenaga solar.
Malahan sejumlah RM50 juta juga diperuntukan dalam tempoh enam bulan terakhir tahun ini untuk pemasangan infrastruktur solar di semua bangunan kerajaan di seluruh negara.
Sementara itu, Nik Nazmi menyifatkan keputusan Kabinet itu bakal merancakkan sektor tenaga hijau kerana ia turut memberi hala tuju lebih jelas bagi dasar TBB.
“Bagi saya, ia juga bukti komitmen kerajaan dalam sektor elektrik kerana ia banyak bawa kesan besar kepada rakyat beralih kepada TBB,” katanya.
Pada masa sama, beliau berharap rakyat terutama golongan berpendapatan B40 dan M40 mengambil peluang beralih kepada TBB yang lebih murah dan juga mesra alam sekitar.
Apatah lagi ujarnya, pelaksanaan pembangunan TBB akan diperluas berdasarkan konsep sistem kendiri bagi menggalakkan rantaian nilai industri dan penglibatan banyak korporat. – UTUSAN










