Pulih, manfaatkan bangunan terbiar, terbengkalai

Pulih, manfaatkan bangunan terbiar, terbengkalai

Terminal A, Klang Sentral pernah menempatkan lebih 30 kaunter tiket, namun kini terbiar selepas sistem tiket berpusat dilaksanakan. - UTUSAN/SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pihak berkuasa perlu mengambil langkah untuk menyelesaikan masalah bangunan terbiar dan terbengkalai di tengah-tengah bandar besar kerana ia boleh menjejaskan negara dan juga menimbulkan isu sosial.

Pensyarah Jabatan Kejuruteraan Awam, Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Prof. Madya Dr. Norwati Jamaluddin berkata, industri pembinaan sepatutnya menjadi pemangkin ekonomi negara dan rantaian projek terbengkalai sangat besar kesannya sehingga membawa kerugian.

“Selagi ada jangka hayat bangunan tersebut, kerugian akan terus berlaku kerana ia tidak dapat berfungsi seperti sepatutnya, ini merupakan pembaziran sumber dan tambahan sekiranya ia melibatkan dana awam,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Akhbar ini semalam menyiarkan laporan khas mengenai kewujudan bangunan terbengkalai dan terbiar di tengah-tengah bandar besar yang bukan sahaja menyakitkan mata tetapi juga menyebabkan kerugian dianggarkan bernilai berbilion ringgit.

Menurut Norwati, keadaan itu juga menyumbang kepada peningkatan jumlah pengangguran dan kekurangan penempatan penduduk.

“Kita juga dapat lihat sekiranya sesuatu tempat itu mempunyai projek terbengkalai ia akan menurunkan harga pasaran kawasan tersebut selain menarik kegiatan tidak bermoral seperti menjadi tempat untuk menagih dadah,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau percaya sudah tiba masanya kerajaan masuk campur bagi menangani isu berkaitan bangunan terbengkalai atau projek sakit iaitu sama ada menambah baik atau memperkasakan undang-undang sedia ada.

Sementara itu orang ramai ramai mahu bangunan-bangunan terbengkalai dan terbiar itu dibaik pulih dan dimanfaatkan kewujudannya bagi membantu menggerakkan ekonomi selain tidak mencemarkan pemandangan.

Seorang eksekutif, Nabila Roslan, 33, mempersoalkan mengapa bangunan-bangunan itu dibina namun akhirnya dibiarkan tidak berfungsi serta tidak menyumbang kepada ekonomi negara.

“Pembangunan perlu dilakukan di tempat yang lebih strategik yang mampu memberi kemudahan kepada masyarakat. Ia perlu dirancang dengan baik supaya kewujudannya dapat dimanfaatkan,” katanya di sini.

Seorang usahawan, Zarina Zainal Abidin, 39, berharap bangunan terbiar dibaik pulih dan digunakan untuk kebaikan masyarakat setempat seperti dijadikan pusat komuniti.

“Mungkin boleh dijadikan safe space kepada golongan belia melakukan aktiviti atau mendapatkan khidmat nasihat seperti sesi kaunseling.

“Selain itu, aktiviti yang boleh dilakukan adalah seperti seni dan sukan yang boleh membantu kehidupan fizikal serta mental golongan belia,” katanya.

Justeru, katanya, kerajaan perlu memikirkan satu penyelesaian atau mungkin pihak berkuasa boleh mencari pemaju atau pihak yang bertanggungjawab untuk memulihkan bangunan tersebut.

Dalam pada itu, seorang eksekutif, Ammar Ibrahim, 33, berharap ada tindakan daripada pihak kerajaan bagi mengurangkan masalah bangunan terbengkalai atau terbiar di seluruh negara.

“Sebelum ini memang ada bangunan yang saya lihat sedang dibina tetapi selepas Covid-19 bangunan tersebut terbengkalai.

“Bangunan seperti itu sebenarnya boleh dimanfaatkan supaya dapat digunakan oleh masyarakat terutama di sekitar Kuala Lumpur dan di bandar-bandar lain. Isu ini perlu segera diselesaikan dan dibangunakan untuk menjana ekonomi negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×