PUTRAJAYA: Kerajaan akan menubuhkan pasukan petugas khas untuk membanteras aktiviti perlombongan haram pelbagai jenis galian di seluruh negara.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pihak Kerajaan Persekutuan akan bekerjasama dengan kesemua kerajaan negeri dalam menubuhkan pasukan tersebut yang akan melibatkan polis, Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia serta Jabatan Perhutanan di negeri-negeri.
“Kita akan menguatkuasakan kes aktiviti perlombongan haram ini kerana ia bukan sahaja merugikan ekonomi, malahan menjejaskan teruk keseimbangan alam,” kata beliau selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Mineral Negara (MMN) Kedua yang turut dihadiri menteri-menteri besar dan wakil ketua-ketua menteri di sini semalam.
Menurut beliau, kerajaan melihat potensi besar mineral boleh membangunkan pendapatan negara dengan nilai keseluruhan dianggarkan mampu mencecah RM4 trilion.
Kata beliau, kerajaan prihatin dengan pendedahan media mengenai perlombongan haram unsur nadir bumi dengan Kedah menjadi negeri terbanyak kegiatan tersebut.
Sementara itu, Fadillah yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, kebanyakan syarikat pengilang sarung tangan di negara ini pada dasarnya bersetuju menggunakan lateks atau susu getah berbanding jenis yang beku atau sekerap.
Menurut beliau, ini adalah antara cara kerajaan menambah baik pendapatan pekebun kecil getah tempatan sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada getah import yang mencecah RM3 bilion setahun.
“Saya difahamkan banyak syarikat ini memang bersetuju untuk memindahkan produk import getah beku kepada susu getah buatan domestik,” kata beliau. – UTUSAN










