Kenaikan OPR beri kesan besar kepada perniagaan kecil

Kenaikan OPR beri kesan besar kepada perniagaan kecil

KENAIKAN OPR dikhuatiri akan menjejaskan operasi PKS yang dilaporkan masih dalam proses pemulihan selepas pandemik. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) baru-baru ini akan menyukarkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk mendapatkan pinjaman, sekali gus menjejaskan usaha mereka untuk mengembangkan perniagaan.

Setiausaha Agung Persatuan PKS Malaysia, Chin Chee Seong berkata, apabila OPR meningkat, kadar pinjaman juga akan naik, sekali gus menjadikan kadar faedah lebih tinggi  untuk PKS yang ingin mendapatkan pembiayaan.

“Sekiranya keadaan itu berterusan, ia boleh mengurangkan jumlah pelaburan dan belanja oleh PKS yang boleh memberi kesan negatif kepada pertumbuhan dan keuntungan mereka.

“Selain itu, kadar faedah yang lebih tinggi juga boleh mengurangkan perbelanjaan pengguna dan menjejaskan perniagaan runcit.

“Ini boleh memberi kesan rantaian terus kepada sektor runcit, di mana jualan barangan pilihan seperti fesyen, kecantikan, dan barangan mewah boleh jatuh.

“Walaupun kenaikan OPR boleh mempunyai kesan positif dan negatif terhadap PKS dan jualan runcit di Malaysia, buat masa ini kami berpendapat kenaikan OPR baru-baru ini tidak wajar kerana kebanyakan PKS masih belum pulih daripada pandemik Covid-19 dan kelembapan ekonomi sedunia,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sementara itu, Pemangku Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Norsyahrin Hamidon berkata, kenaikan OPR menyebabkan kos menjalankan perniagaan semakin meningkat.

“Itu akan menyebabkan PKS sukar untuk meneruskan perniagaan mereka dan berkemungkinan menutup operasi.

“Kami harap OPR tidak akan dinaikkan lagi dalam tempoh terdekat kerana ekonomi negara baru sahaja mahu pulih dan peniaga baru sahaja mahu `menghembus’ nafas lega setelah berdepan cabaran pandemik Covid-19,” katanya.

Baru-baru ini, Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) membuat keputusan untuk menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 3.00 peratus.

Ia merupakan kenaikan kali kelima bermula Mei, Julai, September dan November tahun lalu sebelum dikekalkan kepada 2.75 peratus pada mesyuarat pertama 2023 MPC Januari lalu dan sekali lagi pada Mac lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×