BATU KAWAN: Pengguna jalan raya di Jalan Tok Kangar, Simpang Ampat dekat sini, mempersoal status projek pembinaan di sepanjang jalan itu yang mengambil masa lama untuk disiapkan sehingga menimbulkan risiko keselamatan kepada pengguna.
Seorang pekerja swasta, Mohd. Asri Sulaiman, 43, mendakwa, projek pembinaan di sepanjang Jalan Perusahaan menuju ke Jalan Tok Kangar itu tidak menunjukkan tanda-tanda akan disiapkan memandangkan berjalan sejak lebih enam tahun lalu.
“Saya pun tak faham apa yang dilakukan pihak pemaju. Nak kata siap, tak ada rupa nak siap. Keadaan jalan tak juga elok. Kalau hari hujan, memang berlaku banjir kilat selepas jejantas di Jalan Perusahaan, Juru. Kemalangan juga memang pernah berlaku di sini.
“Ini sudah tentu mendatangkan kesulitan buat pengguna jalan raya di sini dan penduduk kerana ia adalah laluan utama menuju Batu Kawan dan kawasan sekitar, selain mengalami masalah kesesakan yang teruk,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.
Sementara itu, seorang penghantar makanan, Ahmad Fauzi, 26, berkata, struktur jalan di sepanjang jalan tersebut iaitu kira-kira tiga kilometer dari Jalan Perusahaan sehingga Jalan Tok Kangar didapati berlubang selain keadaan jalan yang sempit.
“Sepanjang menggunakan jalan tersebut memang rasa tak selamat berikutan keadaan jalan yang berlubang-lubang. Kalau naik kereta mungkin kurang bahaya namun pengguna motosikal risikonya tinggi.
“Kawasan di sepanjang jalan tersebut juga agak sempit dan amat sesak dengan kehadiran lori-lori muatan besar yang berulang-alik memandangkan ia adalah kawasan perindustrian,” katanya.
Terdahulu, tinjauan Utusan Malaysia di sepanjang jalan berkenaan mendapati kawasan tersebut sesak dengan lori, pengguna kereta dan motosikal selain keadaan jalan yang sempit berikutan kerja-kerja pembinaan yang dijalankan. – UTUSAN











