KOTA BHARU: Eksport produk halal negara pada tahun lalu mencatatkan peningkatan sebanyak 63 peratus dengan nilai berjumlah RM59 bilion daripada RM30.3 bilion 2021.
Ketua Pegawai Eksekutif Halal Development Corporation (HDC), Hairol Ariffein Sahari berkata, peningkatan nilai eksport itu dibantu oleh keyakinan tinggi masyarakat terhadap produk halal keluaran negara.
Menurutnya, berpandukan kepada keyakinan itu, HDC optimis nilai eksport produk halal negara pada tahun ini mampu mencecah sehingga 80 peratus.
“Ia melibatkan produk keluaran industri makanan dan minuman (F&B), bukan makanan seperti penghasilkan bahan-bahan ramuan yang digunakan untuk barangan kosmetik serta banyak lagi.
“Menariknya, produk halal Malaysia tidak hanya tertumpu kepada negara di Asia Barat. Sebaliknya pasaran sudah melangkau ke Asia Tenggara, Asia Pasifik seperti China, Korea, Jepun, Amerika Syarikat dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Sesi Padanan Perniagaan Usahawan Produk Halal-Kolaborasi HDC dan Mydin Sempena Jelajah Halal Malaysia 2023 Kelantan di sini, semalam.
Hairol Ariffein memberitahu, sokongan kuat yang diberikan oleh kerajaan menerusi penubuhan agensi berkait dengan halal menjadi pemacu kepada kejayaan industri berkenaan di negara ini.
Katanya, ia sekaligus turut menjadi penyumbang kepada sumber pendapatan negara.
“Setakat ini 10 lokasi yang mempunyai industri halal iaitu Johor sebanyak dua lokasi, dan masing-masing satu lokasi di Melaka, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan, Pahang, Sarawak dan Sabah,” ujarnya. – UTUSAN











