Pembayaran kod QR rentas sempadan Malaysia, Indonesia

Malaysia, Indonesia lancar komersial jalinan pembayaran kod QR rentas sempadan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bank Indonesia (BI) dan Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan pelancaran komersial jalinan pembayaran kod QR rentas sempadan antara kedua-dua negara,  susulan kejayaan fasa rintis jalinan pada 27 Januari 2022.

Pelancaran komersial jalinan ini menyaksikan penyertaan institusi kewangan peserta yang lebih banyak termasuk institusi kewangan bukan bank.

Ia sekali gus membolehkan lebih banyak rakyat Indonesia dan Malaysia membuat pembayaran runcit secara segera di kedua-dua negara dengan mengimbas kod QR Code Standard Pembayaran Nasional atau DuitNow QR di kedai-kedai atau secara dalam talian menggunakan perkhidmatan yang ditawarkan oleh institusi kewangan peserta.

Gabenor BNM, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd. Yunus berkata, jalinan antara negara Asean kini semakin kukuh jadi lebih banyak pengguna dari Malaysia dan Indonesia akan mendapat manfaat daripada pengalaman yang selamat, lebih lancar dan lebih cekap untuk membuat dan menerima pembayaran rentas sempadan.

“Hal ini mewujudkan potensi besar untuk merangsang kegiatan ekonomi antara kedua-dua negara, termasuk perbelanjaan pelancongan.

“Jalinan ini juga akan membantu memperluas pasaran sesetengah perniagaan dan memudahkan penyelesaian dalam mata wang tempatan yang lebih banyak, lantas meningkatkan hasil kewangan.

“Jalinan pembayaran QR antara Malaysia dengan Indonesia menjadi pelengkap kepada jalinan pembayaran dua hala antara negara Asean seterusnya menyumbang ke arah Asean yang lebih teguh dan membangunkan lagi rantau ini sebagai pusat pertumbuhan,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Gabenor Bank Indonesia, Perry Warjiyo berkata, jalinan ini selaras dengan inisiatif Roadmap for Enhancing Cross Border Payments oleh G20, dan merupakan pencapaian penting bagi Indonesia selaku pengerusi Asean pada 2023 serta mewakili satu lagi peristiwa penting bagi Blueprint Sistem Pembayaran Indonesia 2025.

“Jalinan pembayaran ini menyediakan lebih banyak pilihan kepada pengguna untuk membuat transaksi pembayaran rentas sempadan dan bertindak sebagai faktor penting untuk meningkatkan kecekapan serta menggalakkan ekonomi digital dan rangkuman kewangan di rantau ini.

“Ia juga akan mengekalkan kestabilan makroekonomi dengan menggalakkan penggunaan mata wang tempatan yang lebih meluas untuk transaksi dua hala di bawah Rangka Kerja Transaksi Mata Wang Tempatan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×