ALOR SETAR: Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainuddin menjelaskan beliau tidak bermimpi apatah lagi mengigau seperti dinyatakan Perdana Menteri berkaitan pembangkang yang didakwa memiliki akuan sumpah berkanun (SD) bagi membentuk kerajaan baharu.
Hamzah yang juga Ketua Pembangkang berkata, Datuk Seri Anwar Ibrahim sepatutnya memberi tumpuan untuk menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri berbanding menyatakan perkara yang tidak sepatutnya dilakukan sebagai kerajaan.
Katanya, berkemungkinan Anwar sebenarnya kini yang mengigau kerana takut dengan kedudukannya yang mungkin akan diambil alih.
“Semalam saya dengar ada seorang bagitau bahawa saya mimpi tiap-tiap minggu, saya nak maklum kepada beliau (Anwar) saya tak pernah mimpi pun tiap-tiap minggu. Saya nak bagitau yang hang (kamu) mengigau tu pasai (sebab) apa, saya tak cakap apa pun.
“Sejak dia jadi Perdana Menteri, saya cakap hanya dalam Parlimen bagitau dia hang la ni bukan lagi ketua pembangkang, yang jadi ketua pembangkang saya dan yang nak buat cerita bukan-bukan pasai apa,” katanya ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Pas Pusat di Kompleks Pas Kedah, hari ini.
Semalam, Anwar menggesa pembangkang supaya membawa akuan SD menyatakan sokongan Ahli Parlimen bagi membentuk kerajaan baharu selepas terdapat cakap-cakap ada gerakan dicetus PN yang didakwa sudah cukup menumbangkan Kerajaan Perpaduan.
“Tidak mengapalah, kalau dia (Hamzah) ada tunggu pada persidangan Parlimen bawalah usul SD tiada masalah. Ini setiap minggu dia jadi macam mengigau, sebelum hari raya, sebelum puasa, selepas hari raya, sebelum hari raya haji, sebelum Thaipusam, Tahun Baru Cina,” kata Anwar.
Sebelum menyifatkan Hamzah sebagai ‘mengigau’, Anwar terlebih dahulu melabel Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengigau dan tidak mengendahkan ramalan Ahli Parlimen Marang itu bahawa kerajaan pimpinannya akan tumbang tidak lama lagi.
Pada 19 Disember 2020, Anwar berjaya melepasi ujian pertamanya selepas Dewan Rakyat meluluskan undi percaya terhadapnya secara undian suara.
Menjelas lanjut, Hamzah berkata, disebabkan Anwar yang memintanya untuk bermimpi dan mengigau membentuk kerajaan, maka beliau mengajak semua pihak untuk berdoa agar perkara itu menjadi kenyataan.
“Saya selama ini rilek (tenang) sahaja, tak pikiaq (fikir) apa pun tapi la ni dia suruh saya mimpi, cita-cita. Kita semua berdoa semoga apa yang dia katakan bahawa kita ada nombor, angka atau jumlah itu akan tercapai untuk kita ambil alih (kerajaan) daripada dia, padan muka dia.
“Kita doa lah sama-sama perjuangan kita dirahmati Allah kerana kita tahu hari ini rakyat tertunggu-tunggu masa depan lebih baik. Kalau dulu depa kata (kita) kerajaan yang kurang baik, hari ini nak maklum kerajaan yang ada lebih teruk daripada mana-mana kerajaan yang sebelum ini,” katanya. –UTUSAN










