BEBERAPA hari kebelakangan ini selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri, tiba-tiba sahaja kecoh bermula 1 Mei lalu spekulasi mengenai kemungkinan pertukaran kerajaan. Ia bermula bila media tertentu melaporkan catatan Facebook Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Dr. Muhammad Faiz Na’aman, menyebut angka 126.
Tulisannya ringkas, berbunyi, “126 dah…jika benar, alhamdulillah.” Ada semacam ketidakpastian bila ada istilah ‘jika benar’ tetapi ini cukup untuk cetus spekulasi liar.
Tular dalam media-media sosial dalam kalangan penyokong Perikatan Nasional (PN), angka 126 ini walaupun tidak ada sebarang justifikasi dan logik yang diberi ke atas angka tersebut. Walaupun tidak diterangkan, kefahaman ramai ialah angka itu merujuk kepada bilangan ahli Parlimen yang memberi sokongan kepada parti pembangkang.
Perkara ini dilihat lebih serius bila Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar turut menyuarakan kebimbangan susulan gerakan yang cuba menggagalkan kestabilan kerajaan. Titah baginda pada 3 Mei lalu, “Sudah-sudahlah. Sampai bila lebih 30 juta rakyat Malaysia hendak menanggung keadaan sebegini. Ekonomi perlu dipulihkan, kesejahteraan dan kemakmuran negara mesti diutamakan.”
Muhammad Faiz malangnya terus berspekulasi lagi dengan membuat catatan Facebook baharu berbunyi, “Ooo…Patut la PMX selalu turun ke istana selatan. Faham.”
Ini diikuti satu catatan Facebook baharu lagi semalam berbunyi, “Betul ke sudah tiada majoriti? Selama mana mampu bertahan guna nama istana?”
Catatan bersifat spekulatif begini amat tidak bertanggungjawab. Ia pendek tetapi kesannya besar, boleh menimbulkan pelbagai persoalan tidak sihat. Saya tertanya-tanya sama ada pencetus spekulasi begini boleh diambil tindakan oleh pihak berkuasa kerana ia berpotensi menggugat kestabilan negara.
Paling tidak, Bersatu perlu memberi arahan atau menasihatkan beliau supaya berhenti bermain spekulasi kerana impaknya juga tidak bagus untuk parti itu. Lainlah jika partinya sendiri merestui perbuatan sebegitu atas tujuan tertentu, apa lagi bila sebutan semula kes-kes mahkamah pemimpinnya juga akan berlaku Mei ini.
Kerajaan perpaduan sedang berada di atas landasan yang betul. Walau ada sedikit sebanyak kelemahan di sana sini, tetapi hala tujunya diakui ramai positif. Begitu juga penerimaan ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri dengan gagasan Malaysia Madani yang sentiasa positif.
Ini diakui beberapa dapatan kaji selidik dibuat badan-badan berwibawa, baik bebas atau di universiti. Kerajaan perpaduan walaupun terdiri daripada beberapa gabungan, sangat kuat kerana mempunyai sokongan melebihi dua per tiga di Parlimen, iaitu 148 ahli Parlimen.
Keabsahan Anwar sebagai Perdana Menteri juga terbukti bila Dewan Rakyat meluluskan undi percaya terhadap beliau pada 19 Disember 2022.
Ini diperkukuhkan lagi oleh kelulusan majoriti ahli Parlimen di Dewan Rakyat pada 9 Mac ke atas Belanjawan 2023 melalui Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2023.
TUMBANG
Dari tarikh 19 Disember 2022 dan 9 Mac 2023 tidak ada apa-apa insiden berlaku yang menunjukkan sokongan majoriti ahli Parlimen ke atas Anwar terjejas.
Ada spekulasi kononnya 10 hingga 15 ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) mahu bertukar arah dengan memaksa pilihan raya kecil dilangsungkan, tetapi ini pun segera dinafikan oleh pemimpin BN.
Malah ada ke peringkat yang mengingatkan jika seluruh ahli Parlimen BN menarik balik sokongan sekalipun, kerajaan perpaduan akan tetap tidak tumbang.
Ini kerana parti-parti politik dari Sabah dan Sarawak, iaitu Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Parti Warisan berulang kali menyatakan sokongan terbuka mereka ke atas kerajaan perpaduan.
Lebih mutakhir, pada malam 2 Mei lalu, para pemimpin Pas, iaitu Presiden, Tan Sri Abdul Hadi Awang; Naib Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar; Setiausaha Agung, Datuk Seri Takiyuddin Hasan dan Penolong Setiausaha Agung, Mohd. Syahir Che Sulaiman diberitakan mengadakan pertemuan dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Berita ini juga mencetuskan spekulasi tambahan kononnya pertemuan mereka bertujuan membincangkan usaha menjatuhkan kerajaan perpaduan. Pemimpin-pemimpin Pas tersebut bagaimanapun hanya menandatangani Proklamasi Orang Melayu yang diusahakan oleh Dr. Mahathir, kata Pengerusi Sekretariatnya, Datuk Marzuki Yahya.
Proklamasi ini menyasar untuk mengumpulkan satu juta tandatangan menjelang pilihan raya negeri (PRN), Julai ini.
Proklamasi ini tidak ada faedahnya, malah ia juga diasaskan oleh premis salah kerana mendakwa satu-satunya kuasa yang ada pada tangan orang Melayu, iaitu politik telah terlucut dari tangan mereka sedangkan fakta yang ada, orang Melayu masih lagi menguasai politik. Ketua kerajaan dan jawatan-jawatan kanan kerajaan semuanya masih ada pada tangan orang Melayu
Lebih teruk lagi, proklamasi ini juga mendakwa nasib orang Melayu kini dan akan datang tidak lagi dapat ditentukan oleh mereka dan lemahnya Melayu sehingga kedaulatan tanah air ini pun bakal terlepas dari tangan mereka sedangkan Melayu masih tidak berubah kerana yang berubah hanyalah individu Melayu yang memegang kuasa pada masa sekarang.
Tidak ada apa yang boleh dilakukan oleh Dr. Mahathir bersama-sama Pas, malah apa yang mungkin berlaku jika mereka bersama ialah ia akan merosakkan lagi nama Pas sahaja. Tambahan pula hubungan Dr. Mahathir dengan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin amat renggang setelah berbalah terbuka sejak Muhyiddin menjadi Perdana Menteri.
Rakyat sudah muak dengan politiking tidak berkesudahan. Tunggulah sahaja PRN ini untuk kembali berpolitik, itu pun dalam konteks negeri kerana kerajaan perpaduan tidak akan terjejas walau apa pun keputusannya. Selainnya, berpolitiklah dengan sihat.
Ringkasnya, spekulasi peralihan kuasa tidak perlu dilayan sebaliknya perlu ditangani dengan tegas.
Fokus dan memulihkan negara adalah satu keperluan dan pihak berkuasa perlulah bertegas untuk memastikan usaha menggugat kestabilan dan membantutkan proses ini dapat dikekang. – UTUSAN
DR. Rosli Alani Abdul Kadir ialah Ahli Majlis Pimpinan Negeri PKR Kelantan.











