PETALING JAYA: Susulan kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 3.00 peratus, bank-bank dalam negara terus mengumumkan kenaikan kadar faedah masing-masing bagi diselaraskan dengan kenaikan tersebut.
Terbaharu, Alliance Bank Malaysia Berhad (Alliance Bank) dan Alliance Islamic Bank Berhad (Alliance Islamic Bank) mengumumkan kenaikan Kadar Asas Standard (SBR) sebanyak 25 mata asas kepada 3.00 peratus berkuat kuasa 10 Mei ini.
Jelasnya, Kadar Asas (BR) akan turut dinaikkan 25 mata asas daripada 3.57 peratus kepada 3.82 peratus pertahun (p.a), sementara Kadar Pinjaman Asas (BLR) dan Kadar Pembiayaan Asas (BFR) dikaji semula daripada 6.42 peratus kepada 6.67 peratus, selaras dengan keperluan Rangka Kerja Kadar Rujukan Bank Negara Malaysia (BNM) berkuat kuasa 1 Ogos 2022.
“Di bawah rangka kerja ini, SBR akan digunakan sebagai kadar rujukan biasa untuk semua institusi kewangan untuk pinjaman/pembiayaan kadar terapung runcit baharu mereka dan akan dikaitkan semata-mata kepada OPR.
“Selaras dengan semakan itu, Alliance Bank dan Alliance Islamic Bank juga akan melaras naik kadar deposit pada tarikh kuat kuasa yang sama,” katanya dalam kenyataan.
Turut mengumumkan kenaikan kadar faedah ialah CIMB Bank Berhad dan CIMB Islamic Bank Berhad, sebanyak 25 mata asas untuk semua pembiayaan iaitu SBR, BR, BLR dan yang berasaskan BLR dan BFR ditawarkan oleh bank itu.
“Perubahan kadar akan berkuat kuasa pada 9 Mei 2023,” katanya.
Sebelum ini, Maybank, RHB Bank dan Hong Leong Bank mengumumkan kenaikan kadar faedah masing-masing selaras dengan kenaikan OPR.
Kenaikan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 3.00 peratus diumumkan oleh BNM selepas mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC), Rabu lalu.
Menurut BNM, kadar faedah yang lebih tinggi membantu memutuskan kitaran kenaikan inflasi melampau yang akan memudaratkan ekonomi.
Penganalisis menjangkakan akan berlaku satu lagi kenaikan sebanyak 25 mata asas tahun ini, sebelum kekal pada paras tertinggi 3.25 peratus, iaitu paras OPR sebelum pandemik melanda negara. – UTUSAN










