PETALING JAYA: Pengawal keselamatan yang maut akibat tertimbus dalam runtuhan tebing di Wisma YPR, Taman Seputeh dekat sini dipercayai sedang bertugas dalam pondok yang terletak di lokasi kejadian.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Mohd. Rizuan Razali berkata, sebelum kejadian, terdapat bongkah batu jatuh berhampiran pondok pengawal keselamatan itu pada pukul 8 malam, semalam.
Katanya, pengawal keselamatan berusia 73 tahun itu dipercayai hendak membuat laporan berhubung bongkah batu yang jatuh itu, namun, tidak sempat apabila berlakunya runtuhan tebing kira-kira pukul 12.53 tengah malam.
“Pihak Bomba terima panggilan kecemasan dan tiba di lokasi kejadian pada 1.05 pagi dan mendapati tebing setinggi 20 meter itu runtuh dan menghempap pondok pengawal keselamatan.
“Pemeriksaan mendapati mangsa tertimbus lebih tiga meter dan operasi mencari dan menyelamat dilakukan,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Menurut Mohd. Rizuan, sebanyak 37 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Hang Tuah, BBP Seputeh, Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM), Unit Pengesan Anjing (K9) dikejarkan ke lokasi kejadian.
Jelasnya, mangsa ditemukan pada pukul 6.23 pagi dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Runtuhan melibatkan tebing bahagian tepi wisma tersebut dan pihaknya telah memasang sawar-sawar di kawasan tersebut sehingga pembaikan berlaku.
“Setakat ini hanya seorang mangsa yang terlibat manakala lokasi runtuhan diserahkan kepada pihak pengurusan (Wisma YPR),” katanya.
Tinjauan Utusan Malaysia di Pusat Patologi Pusat Perubatan Universiti Malaya mendapati mayat telah diserahkan kepada pegawai perubatan untuk proses bedah siasat.
Bagaimanapun setakat pukul 2 petang, tiada sebarang kelibat ahli keluarga mangsa di hospital berkenaan.
Sementara itu, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, Kementerian Kerja Raya (KKR) bersedia menawarkan bantuan berhubung kejadian runtuhan terbabit.
Beliau turut bersimpati dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa.
“Bagaimanapun, di pihak KKR, saya ingin memaklumkan kita bersedia untuk menawarkan bantuan dalam apa juga cara di bawah kapasiti KKR, sekiranya diminta oleh pihak-pihak yang terbabit,” katanya dalam hantaran Facebook rasmi miliknya.
Nanta berkata, berdasarkan laporan awal, kejadian itu berlaku di premis milik swasta di bawah penyelarasan pihak berkuasa tempatan (PBT) iaitu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), antaranya berdasarkan peruntukan Akta 133 Jalan Parit dan Bangunan serta beberapa undang-undang kecil berkaitan. – UTUSAN










