JOHOR BAHRU: Konspirasi segelintir pemimpin politik yang bercita-cita untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada menyebabkan rakyat sudah muak dengan perkembangan politik semasa.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Jaya, Liow Cai Tung berkata, buat ketika ini semua ahli politik perlu mengutamakan kepentingan negara dan usaha pemulihan ekonomi.
Katanya, isu ketidakstabilan politik yang berlaku dalam negara berpunca daripada Langkah Sheraton beberapa tahun lalu diikuti pandemik Covid-19, konflik Russia-Ukraine dan sebagainya menyebabkan rakyat sengsara, hilang pekerjaan dan mengalami masalah ekonomi.
“Baru-baru ini wujud desas-desus cubaan segelintir pihak untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan. Ini menunjukkan bahawa masih ada pergerakan seperti arus bawah laut oleh sesetengah pihak yang bercita-cita tinggi.
“Seperti titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, rakyat sudah muak dengan konspirasi segelintir ahli politik untuk menjatuhkan kerajaan. Saya rasa titah tuanku amat tepat masanya.
“Masih segar di minda bagaimana rakyat terpaksa mengibarkan bendera putih untuk mendapatkan bantuan demi kelangsungan hidup semasa pendemik Covid-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Sultan Ibrahim melahirkan kebimbangan desas-desus tersebut apabila 222 ahli Parlimen masih tidak dapat bersepakat walaupun sudah enam bulan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan.
Sebelum ini tersebar khabar angin terdapat gerakan menjatuhkan Kerajaan Perpaduan yang merupakan kerjasama politik antara Pakatan Harapan (PH), BN, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Parti Warisan (Warisan).
Mengulas lanjut, Cai Tung berkata, Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan kerajaan yang progresif dan stabil yang diperlukan oleh rakyat ketika ini. – UTUSAN










