SHAH ALAM: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) melancarkan program Discover PKNS 2023 sebagai sebahagian daripada inisiatif memperkenalkan projek hartanah dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM1 bilion sepanjang tahun ini.
Menerusi program tersebut, PKNS menyasarkan jualan lebih 5,000 unit kediaman dan komersial pelbagai jenis di seluruh negeri melalui pelancaran enam projek hartanah baharu yang akan dilancarkan pada tahun ini.
Menurut Timbalan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Suhaimi Kasdon, PKNS melaksanakan jelajah Program Discover PKNS di lima lokasi bermula 6 Mei ini hingga 29 Oktober di Kota Puteri, Kuala Selangor; Antara Gapi, Hulu Selangor; Selangor Cyber Valley, Cyberjaya; Kompleks PKNS dan Pusat Beli-Belah SACC di Shah Alam.
“Discover PKNS 2023 merupakan kempen berbentuk aktiviti karnival yang bertindak sebagai platform untuk mempromosikan projek PKNS yang melibatkan komuniti setempat selain penyertaan rakan strategik.
“Pelbagai aktiviti menarik bakal berlangsung sepanjang dua hari kempen berlangsung yang terbahagi kepada teras utama iaitu Aktiviti Komuniti yang melibatkan orang ramai atau komuniti setempat di lokasi perbandaran PKNS dan Aktiviti PKNS, katanya dalam sidang akhbar pelancaran Discover PKNS, hari ini.
Di samping itu, anak syarikat Kerajaan Negeri Selangor itu turut menjemput rakan-rakan strategiknya seperti Samsung, Bank Islam, Affin Bank, Bank Muamalat dan Bank Simpanan Nasional untuk mempromosikan produk mereka.
“Dalam program tersebut kita akan adakan pameran dan jualan produk, hari bertemu pelanggan, pendaftaran projek baharu dan urusan pindah milik di samping aktiviti komuniti seperti pertandingan memancing, berbasikal, sukan lasak dan persembahan selebriti.
“Dengan segala perancangan yang diatur di lima lokasi, harapan saya semoga berjalan lancar dan mendekatkan lagi PKNS dengan orang ramai serta mencapai objektif penganjurannya,” ujarnya. – UTUSAN










