PETALING JAYA: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) mengumumkan pelantikan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican sebagai Pengerusi baharu berkuat kuasa serta-merta.
Menurut MATRADE, Reezal Merican mempunyai rekod prestasi yang luas dalam perkhidmatan kerajaan.
Katanya, beliau pernah berkhidmat sebagai Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (2021-2022), Menteri Belia dan Sukan (2022-2021) dan Timbalan Menteri Luar (2015-2018).
Reezal Merican juga pernah menjadi Pengerusi Amanah Raya Bhd. dari 2013 hingga 2015.
“Pengalaman beliau selama bertahun-tahun dalam hal ehwal antarabangsa, diplomasi, pentadbiran kerajaan dan perhubungan industri menjadikan pelantikannya sebagai pengerusi akan menyumbang kepada pertumbuhan dan kepelbagaian eksport Malaysia dalam pasaran global baharu dan sedia ada,” katanya dalam kenyataan.
Reezal Merican pula berkata, beliau berbesar hati diberi peluang untuk berkhidmat sebagai Pengerusi MATRADE.
“Dalam jawaan ini, digabungkan dengan kepimpinan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz), kami boleh memacu prestasi perdagangan dan eksport Malaysia untuk terus cemerlang dan mencapai pertumbuhan yang lebih kukuh,” katanya. – UTUSAN










