PETALING JAYA: Permohonan baharu bagi tiga geran utama industri digital negara dibuka bermula hari ini hingga 1 Jun depan.
Tiga geran itu ialah Geran Kandungan Digital (DCG), Geran Malaysia Digital X-Port (MDXG) dan Geran Pemangkin Malaysia Digital (MDCG). Inisiatif itu diselaraskan oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD).
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, pengagihan geran tersebut penting bagi merealisasikan idea pemain industri kreatif dan meningkatkan bakat-bakat tempatan dalam penciptaan kandungan digital.
Kata beliau, ia termasuk manfaat hasil daripada kerjasama di peringkat antarabangsa sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi digital negara.
“Ekonomi digital Malaysia telah mencapai 22.6 peratus bagi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2021 dan dijangka berkembang melepasi sasaran awal sebanyak 25.5 peratus menjelang 2025.
“Ketiga-tiga geran berkenaan merupakan salah satu resolusi masa hadapan bagi menyediakan ekosistem industri digital negara yang lebih kondusif dan mampan,” katanya dalam kenyataan.
DCG memfokuskan kepada pembangunan industri kreatif digital. MDXG pula bertujuan menyokong pengembangan syarikat teknologi tempatan untuk mempelopori pasaran antarabangsa, manakala MDCG menyasarkan pembangunan teknologi dan
inovasi yang berdaya saing.
DCG menyediakan empat cabang geran lain iaitu Geran Projek Mini; Geran Pembangunan; Geran Produksi; dan Geran Pemasaran dan Pengkomersialan.
Keempat-empat geran itu menawarkan geran bernilai RM150,000 hingga RM2 juta kepada syarikat, perusahaan, syarikat milikan tunggal atau perkongsian liabiliti terhad (LLP), yang melibatkan empat bidang kandungan digital iaitu animasi, permainan digital, komik digital dan teknologi kreatif.
MDXG pula khusus memberi tumpuan kepada syarikat tempatan yang membuktikan kesediaan untuk mengeksport produk, aktiviti atau perkhidmatan teknologi yang bernilai tinggi, inovatif dan mampan untuk pasaran global dengan tempoh projek maksimum selama setahun.
Sementara MDCG memberi bantuan kepada syarikat teknologi bagi merangsang penggunaan dan pembangunan penyelesaian lestari dan inovatif selari dengan sektor-sektor yang dipromosikan oleh Malaysia Digital (MD) berteraskan teknologi 4IR dengan tempoh projek maksimum setahun.
Permohonan terpilih perlu menghadiri sesi pembentangan yang dijadualkan pada Jun depan. Keputusan permohonan dijangka akan diumumkan pada Julai 2023, tertakluk kepada jumlah permohonan yang diterima.
Pemohon yang berminat boleh melayari laman web www.mdec.my/grants untuk maklumat lanjut. – UTUSAN










