PETALING JAYA: Kes penderaan kanak-kanak hingga maut terus berlaku dengan ibu kandung menjadi pelaku tertinggi daripada 220 kes yang direkodkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi tempoh lima tahun sejak 2018.
Dalam tempoh tersebut, Selangor merekodkan kes tertinggi iaitu 91 kes diikuti masing-masing 23 kes di Kuala Lumpur dan Johor selain Negeri Sembilan (18 kes) manakala Perak (14 kes) dan bakinya di lain-lain negeri.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) Bukit Aman, Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan berkata, ibu kandung penyumbang tertinggi dengan 67 kes kanak-kanak maut akibat didera ‘di tangan’ wanita yang melahirkan mangsa.
Menurut beliau, dalam tempoh sama, sebanyak 46 kes membabitkan pelaku bapa kandung diikuti bapa tiri (sembilan kes) dan lain-lain ahli keluarga (11 kes).
“Daripada 220 kes, 133 kes kematian kanak-kanak dikaitkan dengan ahli keluarga iaitu kombinasi ibu bapa kandung, ibu bapa tiri dan ahli keluarga lain mangsa,” kata beliau ketika ditemui baru-baru ini.
MAUT
Selain itu, kata beliau, sebanyak 69 kanak-kanak lagi direkodkan maut didera ketika dijaga pengasuh termasuk pembantu rumah dan ahli keluarga pengasuh.
“Kes tertinggi direkodkan tahun lalu dengan 84 kes diikuti 2020 (44 kes), 2019 (43 kes), 2018 (25 kes) dan 2021 (24 kes).
“Sepanjang tempoh sama, Selangor merekodkan kes tertinggi iaitu dengan 91 kes diikuti masing-masing 23 kes berlaku di Kuala Lumpur dan Johor selain Negeri Sembilan (18 kes), Perak (14 kes), Kedah (12 kes) dan Pahang (10 kes).
“Dalam pada itu, Terengganu, Melaka dan Pulau Pinang masing-masing merekodkan lima kes penderaan sehingga maut diikuti Kelantan dan Sabah (empat kes) serta Sarawak (dua kes),” kata beliau ketika ditemui baru-baru ini.
Siti Kamsiah berkata, dalam tempoh sama, sebanyak 133 kematian membabitkan kanak-kanak lelaki diikuti 87 lagi melibatkan mangsa kanak-kanak perempuan.
Jelas beliau, kanak-kanak berbangsa Melayu paling tinggi menjadi mangsa dera sehingga maut dengan 176 kes diikuti Cina (17 kes) India (14 kes), bumiputera (empat kes) manakala 11 kes lagi kanak-kanak warganegara asing.
“Sebanyak 107 kes melibatkan kanak-kanak kurang satu tahun iaitu dengan 107 kes diikuti mereka berumur satu sehingga tujuh tahun (105 kes) dan atas tujuh tahun (lapan kes),” jelasnya.
DISIASAT
Kata Siti Kamsiah, tidak semua kes yang dilaporkan dan disiasat sebagai penderaan membabitkan perbuatan mendera atau dengan sengaja ingin mencederakan kanak-kanak tersebut kerana berdasarkan punca kejadian ia menunjukkan ada juga elemen kecuaian dan kemalangan.
Jelas beliau, terdapat empat kategori punca kes kematian iaitu perbuatan sengaja mendatangkan kecederaan, kecuaian, kemalangan dan tidak dapat dipastikan punca akibat kematian.
“Bagi perbuatan sengaja mendatangkan kecederaan kebiasaan berlaku kepada mangsa atas sebab suspek gagal mengawal emosi kerana tekanan, baran dan di bawah pengaruh dadah dengan kategori ini menyumbang sebanyak 56 kes bagi tempoh lima tahun dari 2018.
“Di bawah kategori kecuaian penjaga pula, sebanyak 98 kes iaitu kematian berlaku ekoran kanak-kanak jatuh bangunan, bayi terjatuh kolam, terjerut buaian akibat suspek cuai memantau kanak-kanak atau meninggalkan mereka tanpa pengawasan sewajarnya,” ujarnya.
KEMATIAN
Kata beliau, sebanyak 28 kes kematian kanak-kanak itu adalah berpunca daripada kemalangan seperti bayi tertangkup kain napkin semasa tidur, tersedak susu atau tercekik makanan.
“Manakala 38 kes lagi, tidak dapat dipastikan punca yang jelas selepas kebanyakan kes adalah bayi yang tidak sedarkan diri tanpa kesan kecederaan luar atau dalaman badan.
“Selain, tiada tanda kecederaan fizikal boleh dikaitkan dengan perbuatan penderaan atau kes-kes di mana bayi mendapat jangkitan kuman yang tidak diketahui punca,” katanya.
Siti Kamsiah berkata, hukuman di bawah Seksyen 302 dan Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak 2001, iaitu penjara maksimum sehingga 20 tahun dan seumur hidup beserta denda dan sebatan jika seseorang didapati bersalah mendera kanak-kanak sampai mati.
“Ia sepatutnya boleh mendatangkan rasa gerun untuk melakukan kesalahan itu namun kita melihat kes ini meningkat saban tahun,” tegasnya. – UTUSAN







