PETALING JAYA: Veteran UMNO mengingatkan barisan kepemimpinan parti itu supaya membuat tapisan teliti agar tidak tersilap memilih calon untuk diketengahkan pada pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri tidak lama lagi.
Pengerusinya, Datuk Othman Desa berkata, selain tsunami politik dan penolakan rakyat, kesilapan memilih calon tepat juga menjadi faktor ramai calon parti itu tewas pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
“Walaupun dikatakan calon winnable (boleh menang) atau pelbagai lagi, tetapi rakyat tolak, maka saya ingatkan pilih calon yang rakyat suka, bukannya yang parti suka.
“Jangan kata parti lain boleh, tetapi dari segi prinsip kita pilih calon terbaik yang faham masalah rakyat dan yang ada kualiti.
“Pemilihan calon penting menentukan kemenangan kerusi. Tetapi jika letak calon yang tidak menepati kehendak rakyat, ini akan wujudkan sabotaj parti dan penolakan rakyat,” katanya semalam.
Media sebelum ini melaporkan, Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) bersetuju semua kerusi penyandang akan kekal kepada parti yang menang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) bagi PRN di enam negeri nanti.
Bagaimanapun, beberapa kerusi di satu dua negeri dilaporkan berkemungkinan berlaku pertukaran kerusi antara kedua-dua gabungan itu.
Othman berkata, UMNO sebagai parti yang besar dan mempunyai pengalaman perlu menyusun jentera dan menggerakkannya dengan sebaik mungkin untuk untuk berdepan lawan pada PRN nanti.
Katanya, jentera parti itu perlu bergerak menyantuni rakyat terutama pengundi muda yang dilihat seperti tidak menyokong BN.
“Turun santuni dan temui pengundi supaya momentum itu dapat diubah dan anak-anak muda ini berminat dan mahu undi BN,” katanya.
Pada masa sama, beliau menambah, kekuatan dan perpaduan dalam UMNO juga perlu diperkukuh terutama menjelang PRN nanti.
Namun, beliau yakin perkara itu dapat dilaksanakan barisan kepemimpinan baharu yang menang pada pemilihan UMNO baru-baru ini.
“Perpaduan kena diperkukuh di pelbagai peringkat. Kena mantapkan supaya jangan ada lagi perkara-perkara negatif dimainkan,” kata beliau.- UTUSAN











