IPO Radium dijangka jana RM434 juta

IPO: Radium dijangka jana RM434 juta

PENGERUSI Radium Development Berhad, Tan Sri Mhd Amin Nordin Abd. Aziz (tengah) bersama Pengarah Eksekutif, Datuk Gary Gan (dua, kanan) di Majlis Pelancaran Prospektus syarikat itu di Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pemaju hartanah berpusat di ibu negara, Radium Development Berhad (Radium) dijangka menjana RM434 juta daripada tawaran awam permulaan (IPO) syarikat itu di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Berhad dijadualkan pada 31 Mei ini.

IPO Radium melibatkan penerbitan awam sebanyak 868.0 juta saham baharu, mewakili 25 peratus daripada modal sahamnya yang diperbesarkan pada 50 sen setiap satu.

Sebanyak 273 juta saham akan disediakan kepada orang ramai melalui pengundian dan 60 juta saham kepada pengurusan kanan utamanya yang layak, kakitangan Kumpulan dan rakan perniagaan termasuk mana-mana orang lain yang menyumbang kepada kejayaan Kumpulan.

Sementara itu, 435 juta saham lagi akan ditawarkan melalui penempatan persendirian kepada pelabur bumiputera terpilih yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan baki 100 juta saham untuk pelabur terpilih melalui penempatan persendirian.

Menurut Radium, daripada jumlah RM434 juta, sebanyak RM171 juta diperuntukkan untuk perolehan bank tanah dan/atau perbelanjaan pembangunan dan RM109.3 juta untuk pembinaan hotel.

Dalam pada itu, RM93.9 juta lagi diperuntukkan untuk pembayaran balik pinjaman bank, RM39.8 juta untuk modal kerja dan baki RM20.0 juta untuk membayar perbelanjaan penyenaraian.

Pengarah Urusan Radium Group, Datuk Gary Gan Kah Siong berkata, Kumpulan memperuntukkan RM171.0 juta daripada hasil IPO untuk pengambilan tanah dan projek pembangunan di Kuala Lumpur.

Katanya, sebagai permulaan, syarikat telah memeterai perjanjian usaha sama yang berpotensi melancarkan pembangunan di Mukim Batu pada separuh pertama 2024 dan menyenarai pendek tiga bidang tanah di Mukim Petaling untuk diambil alih atau dibangunkan bersama.

“Bank tanah masa depan ini menggariskan komitmen kami sebagai pemaju hartanah yang berpusat di Kuala Lumpur dan memberi tumpuan kepada perumahan mampu milik.

“Selain itu, kami juga akan membangunkan pelancaran baharu dengan nilai pembangunan kasar (GDV) bernilai RM1.5 bilion pada 2023.

“Pada suku ketiga 2023, kami akan memperkenalkan pembangunan terbesar kami iaitu Residensi Desa Timur di Salak South, Kuala Lumpur dengan GDV hampir RM1 bilion,” katanya pada majlis pelancaran prospektus Radium di The Vertical, Bangsar South di sini, semalam.

Gary berkata, syarikat yang menawarkan majoriti hartanah pada harga mampu milik antara RM300,000 hingga RM600,000 itu tidak bercadang untuk menerokai pasaran baharu dan masih menumpukan pada lokasi di Kuala Lumpur kerana permintaan yang tinggi dan dilengkapi dengan kemudahan termasuk akses pengangkutan awam.

Melaka Securities ialah penasihat utama, penaja jamin urusan dan ejen penempatan bersama bagi IPO Radium, manakala CIMB Investment Bank penaja jamin bersama dan ejen penempatan bersama.

Permohonan untuk IPO Radium akan dibuka pada 27 April dan ditutup pada hari Selasa 16 Mei 2023 pukul 5.00 petang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×