PETALING JAYA: Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menjangkakan hasil eksport minyak dan produk berasaskan sawit negara ke China lebih tinggi tahun ini.
Ketua Pengarahnya, Datuk Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, ia susulan hasil peningkatan kerjasama dalam perdagangan minyak sawit dengan negara tersebut melalui pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) di Beijing baru-baru ini.
“MoU yang ditandatangani di antara MPOB dan Dewan Perniagaan China bagi Import Eksport Makanan, Produk Asli dan Produk Sampingan Haiwan (CFNA) meluaskan lagi kerjasama kedua-dua negara dalam perdagangan minyak sawit selain daripada mengukuhkan kedudukan dan syer pasaran Malaysia di China.
“Kami menjangkakan eksport minyak sawit dan produk berasaskan sawit yang lebih tinggi ke China tahun ini dengan peningkatan kerjasama dalam perdagangan minyak sawit dengan negara itu melalui pemeteraian MoU tersebut,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Ahmad Parveez, China merupakan pasaran eksport minyak sawit kedua terbesar Malaysia pada 2022 dan menyumbang 11.2 peratus daripada jumlah eksport minyak sawit Malaysia.
Katanya, pada 2022, jumlah nilai eksport minyak sawit dan produk berasaskan sawit lain Malaysia ke China meningkat 12.9 peratus kepada RM14.86 bilion daripada RM13.16 bilion tahun sebelumnya.
“Jumlah eksport minyak sawit dan produk berasaskan sawit meningkat sebanyak 0.30 peratus kepada 3.14 juta tan pada 2022 daripada 3.13 juta tan pada 2021,” katanya.
Tambah beliau, MPOB berjaya meluaskan penggunaan minyak sawit dalam industri makanan nilai tambah melalui inisiatif penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan ia membantu menjamin pasaran minyak sawit Malaysia.
“Ini termasuk lemak khusus berasaskan sawit untuk kuih bulan kontemporari, penggunaan minyak sawit dalam Xinjiang Naan, snek berasaskan minyak sawit merah, tablet susu berasaskan sawit dan lain-lain lagi,” katanya.
Mengulas lanjut, Ahmad Parveez berkata, kerjasama itu juga membolehkan China mengambil bahagian dalam penerokaan teknologi mekanisasi sawit di Malaysia yang akan membantu meningkatkan produktiviti dan mengurangkan pergantungan kepada pekerja di ladang.
“Kedua-dua negara kini boleh bersama-sama mempromosikan penerokaan, mereka bentuk dan melaksanakan teknologi baru seperti kecerdasan buatan (AI), rangkaian mudah alih generasi kelima (5G), Internet Pelbagai Benda dan kenderaan autonomi di ladang sawit di Malaysia.
Ia termasuk teknologi aeroangkasa, dron dan AI daripada China Great Wall Industry Corporation khususnya mengenai pemetaan profil umur dan pengesanan penyakit di ladang sawit serta kenderaan penuaian autonomi yang dibangunkan oleh Shanghai Westwell Information Technology Co. Ltd.,” katanya.
Malaysia dan China kini boleh bekerjasama untuk bersama-sama mempromosikan kestabilan rantaian bekalan minyak sawit di kedua-dua negara serta Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) untuk makanan, bukan makanan, biobahan api dan makanan ternakan di China. – UTUSAN










