PETALING JAYA: Gamuda Bhd. (Gamuda) mengumumkan peletakan jawatan Mohammed Rashdan Mohd. Yusof sebagai Timbalan Pengarah Urusan syarikat berkenaan berkuat kuasa 25 April 2023.
Perletakan jawatan itu dibuat kira-kira dua bulan selepas Mohammed Rashdan dilantik sebagai Pengerusi Suruhanjaya Tenaga (EC) pada Februari lalu.
Gamuda dalam satu kenyataan berkata, Mohammed Rashdan telah melepaskan semua jawatan pengarah berkuat kuasa serta-merta manakala hari terakhir beliau di Gamuda adalah pada 30 Jun 2023.
“Kumpulan mengucapkan tahniah kepada Mohammed Rashdan dalam peranan baharunya sebagai Pengerusi ST.
“Beliau juga sudah memberi jaminan kepada Lembaga Pengarah bahawa terdapat pematuhan sepenuhnya semua peruntukan konflik kepentingan seperti yang dinyatakan dalam Akta Suruhanjaya Tenaga (Akta 610) dan tadbir urus diperhatikan dalam semua perbincangannya di Suruhanjaya Tenaga.
“Peletakan jawatannya ini daripada kumpulan adalah untuk menumpukan perhatian, tenaga dan usaha dalam menjalankan tugas negara,” katanya.
Menurut Gamuda, Datuk Ir. Ha Tiing Tai akan terus kekal sebagai Timbalan Pengarah Urusan Gamuda, jawatan yang dipegangnya sejak 1 Jun 2012.
Untuk rekod Mohammed Rashdan mula menyertai Gamuda pada 1 Mei 2018 sebagai Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan sebelum dilantik sebagai Pengarah Ganti kepada Pengarah Urusan Gamuda, Datuk Lin Yun Ling pada 28 September 2018.
Katanya, Mohammed Rashdan merupakan individu yang memainkan peranan penting dalam penjualan konsesi lebuh raya kepada Amanat Lebuhraya Rakyat Bhd. (ALR) membabitkan Lingkaran Trans Kota Sdn. Bhd. (Litrak), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat Sdn. Bhd. (Sprint), Kesas Sdn. Bhd. (Kesas) dan Syarikat Mengurus Air Banjir dan Terowong Sdn. Bhd. (SMART). – UTUSAN










