PENGALAMAN saya selama 34 tahun dalam pentadbiran universiti dan empat tahun terlibat aktif dalam persatuan semasa belajar, tidak pernah berlaku sekatan dalam pembangunan ilmu dan membangun sahsiah diri.
Suatu ketika, semasa belajar, seorang kawan mengajak saya sebagai pemimpin pelajar melakukan demonstrasi membantah Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) tetapi saya menolak kerana percaya masih banyak ruang dan peluang yang boleh diambil untuk mencapai kecemerlangan diri dan melakukan aktiviti. AUKU sepatutnya dilihat secara positif, bukan kekangan. Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.
Pada era awal 1980-an, universiti memberi peluang kepada perbincangan secara terbuka apa sahaja topik mengundang pelbagai jenis pemimpin berdebat dan berbincang tentang apa sahaja isu.
Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) ketika itu, wajib membentangkan agenda dan program mereka di hadapan lebih 1,000 orang rakan pelajar, berdebat dan berbahas secara terbuka. Pada akhir sesi pengajian, MPP perlu membentangkan pencapaian mereka di hadapan rakan-rakan lain yang sebahagiannya nakal ‘membelasah’ ahli-ahli yang membentangkan projek mereka.
AUKU masih relevan melalui pindaan dan perubahan yang secara umumnya menyediakan tadbir urus baik untuk menjaga integriti universiti dan kepentingan awam dari sudut tatakelola semua pemegang taruh. Sebahagian besar AUKU adalah tentang tadbir urus universiti manakala sebahagian kecil membincangkan isu pelajar, persatuan dan pertubuhan pelajar serta kuasa termasuk Naib Canselor.
AUKU juga menyatakan dengan jelas, universiti tidak boleh menghalang aktiviti perbincangan, perdebatan dan pertukaran ilmu terutama dalam bidang-bidang pengajian pelajar melalui pelbagai wacana, seminar, persidangan dan aktiviti yang dilakukan.
Ini bermakna universiti menekankan kepada perbincangan keilmuan dan kemasyarakatan berdasarkan fakta dan data, bukan hanya bermain dengan emosi semata-mata atau menunjukkan sokongan terhadap pegangan politik sesuatu pihak.
Pelajar universiti perlu memanfaatkan ruang dan peluang mengadakan pelbagai aktiviti yang boleh mengkayakan diri dengan kematangan dan kekuatan untuk berbincang malah berdebat pelbagai isu, bukan sahaja berkaitan dengan isu tempatan malah antarabangsa.
Kini para pelajar boleh memanfaatkan kemajuan teknologi yang ada untuk bertemu secara dalam talian dengan rakan-rakan pemimpin pelajar seluruh dunia. Malah berkongsi pengalaman dan perbezaan budaya yang ada.
Dunia sudah berubah, pelajar universiti memerlukan jaringan dengan pelbagai pihak secara global, mengambil bahagian dan berbincang perkembangan teknologi dan isu-isu masyarakat untuk mencari jalan penyelesaian melalui pelbagai disiplin ilmu.
ROKET
Kejayaan 11 orang pelajar yang mengambil inisiatif untuk mengambil bahagian melancarkan roket dalam pertandingan Spaceport America Cup 2022 pada 21 hingga 25 Jun tahun lalu menjadi bukti kemampuan mereka. Spaceport America Cup merupakan persidangan dan pertandingan pelancaran roket berkuasa tinggi antara universiti yang terbesar di dunia.
Banyak kejayaan pelajar universiti melakukan pelbagai aktiviti termasuk kesukarelawanan global dan keusahawanan yang membuka ruang untuk mencari pengalaman dan membina masa hadapan.
Universiti meriah dengan pelbagai wacana ilmu yang diadakan secara berterusan. Perbincangan-perbincangan dan perdebatan ilmu dalam pelbagai wahana seperti perdebatan, persidangan, kolokium dan pelbagai lagi aktif diadakan termasuk mengundang tokoh-tokoh luar yang hebat untuk berkongsi dengan ahli akademik dan pelajar. Hanya apabila berlaku Covid-19, universiti terpaksa menyesuaikan diri dengan pelbagai perubahan termasuk proses penyampaian ilmu.
Namun, dalam pada itu pun pelajar masih meneruskan aktiviti mereka secara dalam talian dan kini bersemuka. Tentu sahaja proses ini mengambil sedikit masa untuk kembali berada pada landasan-landasan yang sesuai dengan budaya universiti.
Pelajar dan warga universiti boleh sahaja menyuarakan pandangan mereka asalkan menggunakan data dan fakta jelas dengan menjaga adab, akhlak dan aib pihak terlibat bertunjang integriti dan tatakelola yang ada. Membuat tuduhan berdasarkan kes-kes terpencil yang kontroversi amat tidak wajar.
Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni berperanan sebagai pemudah cara pelajar menjalankan aktiviti persatuan, menjaga kebajikan dan memupuk serta membangunkan bakat anak-anak muda di universiti. Universiti Sains Malaysia (USM) misalnya memasukkan frasa pembangunan pelajar untuk memberi gambaran peranan universiti adalah membangunkan bakat pelajar, bukan mengawal dan menghalang usaha pelajar untuk menjadi siswazah hebat.
Yang penting sekarang, bagaimana mendidik dan mengajak anak-anak muda kita berfikir, menguasai pelbagai disiplin ilmu dan berkomunikasi dengan berkesan. Mereka juga perlu dibimbing untuk memanfaatkan jaringan yang ada untuk masa hadapan termasuk dengan industri dan bakal majikan.
Ahli akademik perlu terus melaksanakan kewajipan menjadikan universiti tempat terbaik untuk membangun dan menerokai ilmu bagi memperkasa pelajar sebagai pemimpin masa hadapan dalam masyarakat mahupun komuniti ilmu. Kupasan-kupasan ilmu secara terbuka wajar diperbanyakkan oleh fakulti dan pusat pengajian.
Dewan Perundingan Pelajar manifestasi dari Parlimen Mahasiswa seharusnya dimanfaatkan pelajar untuk berbincang secara terbuka pelbagai isu termasuk kepentingan AUKU untuk mendapat sudut pandang yang pelbagai dalam kalangan pelajar.
AUKU seharusnya tidak dilihat sebagai sekatan tetapi menunjuk jalan bagaimana ilmu dapat dijana, dikembangkan dan disebarluaskan serta yang terpenting menjaga tadbir urus berintegriti untuk kepentingan awam dan memanfaatkan peluang sedia ada. Anak-anak muda kita wajar dididik dengan fikiran terbuka tetapi bukan diracun dengan agenda kebebasan tanpa had dan memesongkan akal budi mereka.
Pindaan yang sedang diusahakan seharusnya memperjelaskan lagi penambahbaikan usaha pembangunan universiti yang menyeluruh termasuk pelajar. Penghakupayaan yang diberi berupaya meningkatkan kemampuan pelajar untuk menjalankan aktiviti yang mematangkan pengalaman untuk menghadapi masa hadapan.-UTUSAN
PENULIS ialah Ketua Timbalan Pendaftar Kanan, Universiti Sains Malaysia (USM).










