PETALING JAYA: Sejumlah RM21.36 juta bayaran saman berjaya dikutip Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam tempoh tiga hari tawaran Kadar Khas Bayaran Saman sebanyak RM50 bagi semua saman trafik tahun 2022 dan sebelumnya dilaksanakan bermula 21 April lalu.
Mengesahkan perkara itu kepada Utusan Malaysia, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, meskipun masyarakat di negara ini berada dalam ‘mood’ perayaan Aidilfitri namun mereka dilihat tidak melepaskan peluang untuk membayar saman tertunggak melalui Kadar Khas Bayaran Saman yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada minggu lalu.
“Jumlah bayaran berkenaan membabitkan 409,673 saman tertunggak direkodkan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman (JSPT) di seluruh negara membabitkan pelbagai kesalahan lalu lintas yang berjaya diselesaikan,” katanya ketika dihubungi.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, lebih 37 juta saman tertunggak dianggarkan bernilai RM5.6 bilion direkodkan polis dalam tempoh 33 tahun.
Jumlah saman membabitkan pelbagai jenis kesalahan trafik yang dikeluarkan kepada pesalah warga tempatan serta warga asing sejak tahun 1990 hingga 2022.
Dalam tempoh tersebut, antara saman tertinggi direkodkan adalah kesalahan memandu melebihi had laju dan menghalang lalu lintas.
Selain itu, tiada lesen memandu dan melanggar lampu isyarat juga saman paling banyak dikeluarkan kepada pengguna jalan raya.
Kadar khas RM50 itu layak terhadap semua saman trafik untuk kesalahan pada 2022 dan sebelumnya kecuali saman yang masih belum selesai perbicaraan mahkamah kerana di luar bidang kuasa pihak polis.
Pihak PDRM tidak menetapkan had jumlah saman trafik yang boleh dibayar oleh orang awam dalam tempoh itu serta mengalu-alukan mereka untuk menjelaskan kesemua saman yang ada.
Bermula 21 April lalu sehingga Mei nanti, orang awam boleh membayar saman terbabit secara dalam talian melalui aplikasi MyBayar Saman dan secara fizikal di semua kaunter bayaran trafik di Ibu Pejabat Polis Kontinjen dan Daerah di seluruh negara pada hari bekerja.
Selain itu, pembayaran boleh dilakukan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) Maybank di seluruh negara dan semua kaunter Pejabat Pos Malaysia.
Kadar khas bayaran saman yang diumumkan Perdana Menteri itu adalah untuk menzahirkan hasrat Kerajaan Madani memberi kemudahan kepada rakyat dengan mengurangkan bebanan kewangan dihadapi mereka.
Kadar khas bayaran saman itu membuktikan kerajaan mendengar keluhan masyarakat yang tidak dapat membuat pembaharuan lesen kerana mempunyai saman. – UTUSAN










