PETALING JAYA: Bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin disaran menubuhkan parti politik sendiri sekiranya bercita-cita mahu menjadi Presiden.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM), Datuk Larry Sng Wei Shien berkata, bekas Ahli Parlimen Ampang itu disaran mendaftarkan parti baharu, bukannya bergantung kepada parti sedia ada.
Katanya, ia mengambil kira prestasi Zuraida yang disifatkan ‘bermasalah’ dalam parti politik dianggotainya sebelum ini.
“Dulu dalam PKR dia kena pecat. Dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan PBM pun sama.
“Saya rasa lebih sesuai dia mendaftarkan parti baharu, (lagi pula) PBM tak akan terima beliau,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Pada Februari 2020, Zuraida yang juga bekas Naib Presiden PKR dipecat daripada PKR selepas didakwa melakukan satu pengkhianatan terbuka yang jelas bertentangan dengan pendirian parti dalam perkara kedudukan Perdana Menteri sehingga menyebabkan keadaan yang menjejaskan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) ketika itu.
Beliau kemudian menyertai Bersatu, namun mengumumkan keluar parti itu pada Mei tahun lepas setelah membuat keputusan untuk menyertai PBM.
Bagaimanapun, PBM mula menghadapi krisis dalaman membabitkan jawatan Presiden yang melibatkan antara Zuraida dan Larry.
Larry yang juga Ahli Parlimen Julau mengisytiharkan dirinya sebagai Presiden parti itu menggantung Zuraida bersama 12 lagi individu lain, atas alasan membuat tindakan yang merendahkan kepentingan parti, khususnya selepas mengumumkan Zuraida sebagai presiden parti pada 8 Oktober lepas.
Pada masa sama, media melaporkan, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) mengesahkan Larry masih lagi Presiden PBM berdasarkan rekod yang ada di jabatan itu.
Disember lepas, Zuraida kemudian dipecat dari PBM bersama 12 individu lain selepas gagal menjawab surat tunjuk sebab diberikan parti itu.
Bagaimanapun, perebutan kuasa antara kepimpinan yang berlarutan itu menyaksikan Zuraida memohon mahkamah supaya secara rasmi mengiktirafnya sebagai Presiden PBM.
Zuraida memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman dengan menamakan RoS sebagai responden tunggal bagi memohon agar agensi itu mengiktirafnya sebagai Presiden PBM. – UTUSAN










