Buang, musnahkan sayur untuk naikkan harga?

Buang, musnahkan sayur untuk naikkan harga?

Pasar raya didenda
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Beberapa pekebun sayur di sekitar Cameron Highlands dipercayai sengaja membuang dan memusnahkan bekalan sayur-sayuran bertujuan menaikkan harganya ekoran lambakan bahan itu di pasaran ketika ini.

Perkara itu didedahkan kepada Utusan Malaysia oleh sumber Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dan disahkan oleh Pengerusi Persatuan Pekebun Melayu Ca­meron Highlands, Datuk Syed Abd. Rahman Syed Abd. Rashid.

Syed Abd. Rahman berkata, pihaknya mendapat maklumat bahawa antara sayuran yang dibuang ialah tomato, lobak dan sayuran berdaun terutama pak choy.

Katanya, tindakan itu dibuat kerana bekalan sayur-sayuran di Cameron Highlands kebelakangan ini meningkat susulan keadaan cuaca yang baik selain didorong lambakan sayuran yang diimport dari luar negara terutama Thailand dan China.

Susulan itu katanya, penanam sayur di Cameron Highlands bertindak memusnahkan bekalan tersebut bagi menaikkan harganya dan mendesak kerajaan campur tangan.

“Memang saya dapat maklumat, mereka (penanam sayur) di Cameron Highlands buat begitu. Memandangkan sejak dua, tiga bulan kebelakangan ini cuaca agak baik, jadi sayur-sayuran jadi cantik dan pengeluaran banyak.

“Kebetulan, permintaan terhadap sayur-sayuran sewaktu bulan puasa berkurangan. Sebab keba­nyakan orang Melayu ini, selalunya berbuka puasa dengan kuih-muih, manisan dan sebagainya. Jadi, kurang sikit sayur-sayuran.

“Jadi apabila pengeluaran tinggi, kemudian pekebun ini mendakwa ada kacau ganggu terhadap bekalan akibat ada import sayur-sayuran dari luar negara. Tapi bab import itu saya tak pasti, kena semak dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA). Jadi apabila mereka kata banyak sayur, maka mereka pun buanglah,” katanya di sini semalam.

Syed Abd. Rahman berkata, pihaknya mengesan tiga lokasi jadi pusat memusnahkan dan membuang sayur-sayuran di Cameron Highlands, namun menjelaskan bahawa kuantiti yang dibuang tidak banyak.

Namun katanya, mereka se­ngaja memperbesar isu tersebut sebagai langkah mendesak kerajaan bertindak segera.

“Mereka buang di dua, tiga tempat sekitar Cameron Highlands. Antaranya di Lojing ada mereka buang, di Kuala Terla dan di Tringkap pun ada.

“Saya difahamkan, tak banyak sayuran yang mereka buang, tapi sengaja diperbesarkan tindakan itu dan buat riuh supaya mereka mahu kerajaan campur tangan dari segi import dan sebagainya.

“Mereka mahu tunjukkan bahawa harga sayur-sayuran rendah di pasaran, jadi ini isyarat agar kerajaan bertindak,” katanya.

Dalam pada itu, Syed Abd. Rahman berkata, berdasarkan trend memusnahkan sayuran sebelum ini bagi menaikkan harganya, harga sayuran di pasaran lazimnya meningkat hanya sehari atau dua hari selepas tindakan itu dibuat, menunjukkan bahawa modus ope­randi sebegitu cukup berkesan untuk menggugat pasaran.

“Isunya, selepas mereka buang sayur-sayuran ini, sehari dua lepas itu harganya pun naik. Macam sa­yuran berdaun, harganya selepas bekalan dibuang naik 70 hingga 80 sen sekilogram.

“Kenaikan di pasaran itu saya kesan daripada 30 sen, naik kepada 70 hingga 80 sen sekilogram sayur-sayuran berdaun. Cara mereka buang, mereka campak saja di tempat-tempat biasa mereka buang sampah-sarap, mereka campak di situ saja,” katanya.

Sementara itu, dalam Majlis Sambutan Aidilfitri Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan dan Parti Amanah Negara (Ama­nah) Kedah di Alor Setar malam kelmarin, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, kementeriannya akan meneliti masalah lambakan sayuran itu sehingga menjejaskan kira-kira 500 pekebun dalam usaha me­laksanakan langkah penyelesaian berkesan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×