KUALA TERENGGANU: Kepulangan 10 anak tersayang dari perantauan untuk menyambut lebaran menjadi detik manis buat seorang ibu tunggal dari Kampung Pulau Rusa semalam.
Wahi Ali, 68 berkata, raya kali ini sangat bermakna buat dirinya kerana giliran kesemua 10 anaknya pulang ke kampung halaman untuk merayakan hari istimewa itu.
Menurutnya, sejak awal Ramadan lagi dia tidak berhenti berdoa agar semua anaknya selamat dalam perjalanan pulang dan tidak mengalami sebarang kesulitan sepanjang bermusafir.
“Tiada apa yang saya harapkan selain kepulangan anak cucu yang memeriahkan suasana hari raya di kampung. Itulah momen yang sangat istimewa kerana mereka semua diberi kesihatan, kesempatan waktu dan rezeki untuk pulang menjenguk orang tua.
“Pelbagai menu istimewa akan disediakan bermula hari ini antaranya ketupat, rendang, tapai dan makanan tradisional rakyat Terengganu iaitu nasi dagang,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Katanya, anak-anak sangat menggemari semua menu tersebut yang menjadi pelengkap untuk menyerikan lagi sambutan Aidilfitri.
“Sejak dari kecil lagi, saya memang biasakan anak-anak untuk turut sama menolong di dapur membuat persiapan pelbagai menu hari raya dan setelah berkahwin serta mempunyai anak, cucu juga membantu di dapur.
“Alhamdulillah, ia juga adalah pengikat kasih sayang untuk dinikmati seisi keluarga dan dihidangkan kepada tetamu yang bakal berkunjung ke rumah kami,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Wahi yang mempunyai 24 orang cucu berkata, tradisi bergotong royong memasak setiap kali menjelang Aidilfitri sudah lama diamalkan keluarganya bagi mengeratkan silaturahim.
“Walaupun ada yang mencadangkan agar membuat tempahan katering untuk jamuan raya, saya lebih suka membuatnya sendiri kerana air tangan masakan itulah yang akan menjadi kerinduan anak dan cucu apabila saya tiada nanti,” katanya. – UTUSAN










