SEPERTIMANA hari raya saban tahun, kakitangan awam sering mendapat wang hari raya atas ihsan kerajaan yang prihatin dan berhati perut. Wang hari raya sememangnya menjadi amalan umum sebagai bentuk sedekah khususnya buat mereka yang memerlukan terutama kanak-kanak yang tidak mempunyai apa-apa wang saku untuk beraya dan bersuka ria, membeli bunga api atau kudapan sesama mereka.
Sesetengahnya tidak langsung dapat membeli baju dan kasut baharu, apatah lagi dalam keadaan ekonomi kian pudar lagi rundung akibat pelbagai faktor yang mempengaruhi kelembapan sosioekonomi seantero. Dengan adanya wang hari raya sebagai ‘bonus’ tahunan, sedikit sebanyak dapat meredakan keadaan.
Bagi sektor swasta, soal bonus adalah sesuatu yang lumrah walaupun jumlah mungkin berbeza-beza mengikut prestasi syarikat berkenaan. Ramai dalam kalangan mereka bekerja atas dorongan skema bonus yang mereka sasarkan melalui produktiviti memberangsangkan.
Amalan wang hari raya ini juga terdapat dalam budaya lain baik Jepun atau Korea.
Paling terkenal adalah konsep angpau Cina yang mempunyai tradisi serta falsafah tersendiri. Umumnya, juga merai dan membantu golongan kurang mampu untuk menyambut hari lebaran masing-masing.
Kadangkala ia dihadiahkan dalam bentuk pemberian makanan atau pakaian yang termampu. Bakul atau bungkusan hari raya sering dihadiahkan kepada keluarga yang memerlukan secara besar-besaran. Tidak terlupa mereka yang bertugas semasa hari raya demi keselamatan dan kesejahteraan negara. Malah istilah ‘angpau’ turut dikongsikan semasa hari raya khusus buat kanak-kanak dalam sampul khas sebagaimana lazim diamalkan kaum Cina sesama mereka dengan syarat tertentu.
Hanya yang ganjil pada kali ini adalah angpau dimaksudkan bersalut nikotin sebagai kiasan. Ia ekoran ‘kemurahan hati’ pihak berwajib melepaskan nikotin, suatu bahan racun dan ketagihan daripada kawalan undang-undang sejak beberapa minggu lalu seolah untuk hadiah hari raya yang mendatang esok, lusa.
Ramai yang turut terkejut dengan sikap ‘kemurahan hati’ luar biasa ini dan keazaman mereka untuk dipertahankan daripada teguran pelbagai pihak termasuk kumpulan profesional. Mungkin niatnya untuk ‘menggembirakan’ hati mereka yang tersasar terutama kanak-kanak di bangku sekolah. Biar betul? Bagaimana?
Pertama, bahan terkawal begitu lama di luar jangkauan mereka berusia 18 tahun ke bawah. Sepertimana tembakau yang juga mengandungi nikotin, kini sudah bebas dalam genggaman mereka. Apabila dinyahkan kawalan nikotin, ia boleh diperoleh sesiapa sahaja tanpa sebarang larangan had umur dan sebagainya. Sudah tentu ini ‘menggembiralan’ mereka yang agak lama kemaruk menikmati apa itu nikotin! Pucuk dicita ulam nikotin mendatang. Masanya sudah tiba, apa lagi di hari raya. Ada pula bonus hari raya pemberian kerajaan. Cukup selesa. Cukup bahagia. Siapa sangka. Terima kasih Yang Berhormat (YB)!
KETAGIHAN
Kedua, nikotin boleh merangsang tubuh dan otak khususnya. Pengguna akan terkesan cergas dan riang apabila terhidu wap dari bahan vape sepertimana menghisap rokok. Hanya bezanya, rokok masih terkawal, cecair vape tidak lagi. Jadi, apa peduli. Lagipun cecair vape boleh diaduni sesuka hati, tambah itu dan ini. Ada yang menambah ganja dan bahan dadah berbahaya lain untuk merancakkan kesan otak mengikut laporan tertentu. Walaupun kesannya boleh lebih membahayakan, tetapi siapa tahu? Buat dahulu. Ini hari raya untuk berseronok-seronok sebagai angpau yang diterima percuma. Terima kasih banyak YB!
Ketiga, ia menguntungkan pungutan cukai untuk memacu ekonomi seperti diuar-uarkan. Lebih ramai melibatkan diri dengan tabiat vape ini, lebih lumayan pula kutipan seperti dicaturkan. Malah kalau mereka cepat ketagih, lebih baik kerana kutipan cukai terus menerus seumur hidup yang ketagih. Oleh sebab itu jugalah tergesa-gesa mendorong pengguna pada awal usia di bawah 18 tahun kerana jangka ketagihan akan berkekalan berpuluh tahun lamanya. Bayangkan berapa juta boleh dikutip untuk pembangunan sosioekonomi walau tidak insani – tetapi cukup strategik dan lincah dari segi politik dan perniagaan. Syabas YB!
Keempat, melalui susulan ini sudah pasti lebih ramai yang akan kehilangan nyawa atau hidup sengsara akibat keracunan dan impak nikotin ke atas sistem badan keseluruhannya. Peristiwa ini sudah tentu mendukacitakan khususnya para ibu bapa serta mereka yang terhampir dan tersayang.
Tetapi apa hendak dibuat sekiranya ibu bapa serta waris dan masyarakat tidak mengambil pusing apabila nikotin dilepaskan daripada kawalan sejak tiga minggu lalu dan isu ini masih panas. Maknanya semua setuju yang anak masing-masing boleh diracuni tanpa menyuarakan apa-apa bantahan berlandas hak asasi dalam memberi perlindungan kepada yang berhak menerimanya terutama kanak-kanak daif. Bukan dijadikan modal insan pasaran ketagihan.
Ringkasnya, semua cuai amanah kerana akur membuta tuli kepada ‘kezaliman’ undang-undang yang dipaksakan kepada mereka yang tidak berdosa di bawah jagaan kita, bukan pembuat dasar. Dan pelaksanaannya tidak pula tertib mendahului ilmu berbanding kepentingan parti atau diri. Perjudian seperti ini dalam hal ehwal kesihatan akan tentu berakhir dengan pelbagai musibah tidak terduga. Dan membayar dengan harga sangat mahal, mungkin nyawa sendiri.
Namun, masih ada yang leka. Maka tepuk dada tanya selera. Kalau pilihan muktamad untuk berdiam diri, teruskan sahaja tetapi jangan kemudian melonjak-lonjak berang apabila terjebak kesengsaraan ketagihan apalagi kematian. Nasi sudah menjadi bubur! Terlambat untuk menyesali.
Pun begitu dalam semangat Syawal, ruang jalan keluar yakni bermaafan sekiranya insaf. Lazim meminta ampun dan maaf zahir dan batin pada hari pertama beraya. Ini amat digalakkan menebus dosa mereka yang teraniaya dan menanggung derita angkara angpau bersalut nikotin yang tidak lagi diingini sama sekali bermula hari raya ini. Renungkanlah semoga amalan berpuasa mampu melunakkan jiwa untuk satu lagi keputusan bagi memperbetulkan kesilapan lalu. Ramai yang menunggu keputusan ‘berani’ kedua ke arah memupuk rahmatan lil alamin! – UTUSAN
PROFESOR Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak ialah Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).











