Ayahanda inspirasi saya - Rahayu Tajuddin

Ayahanda inspirasi saya – Rahayu Tajuddin

RAHAYU Tajuddin menjadikan bapanya sebagai inspirasi dalam meneruskan kepemimpinan parti hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tidak kekok memegang jawatan Ketua Wanita UMNO Bahagian Pasir Salak, Datin Seri Rahayu Tajuddin pada kali ini meneruskan legasi bapanya mengemudi sayap Wanita di peringkat bahagian.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Rahayu berkata, setelah diberi mandat sebagai Ketua Wanita baharu di Pasir Salak, sudah semestinya beliau akan memberi khidmat bakti yang terbaik untuk masyarakat di kawasan tersebut dengan menjadikan kepemimpinan Datuk Sri Tajuddin Abdul Rahman sebagai ‘role model’ untuknya dalam meneruskan kepemimpinan pada hari ini.

“Ayahanda Datuk Seri merupakan inspirasi kepada saya. Beliau seorang pemimpin yang cukup prihatin, mempunyai sifat rendah diri, mesra dengan akar umbi dan tidak kedekut ilmu. Dalam masa yang sama beliau seorang yang tegas dan berani. Ayahanda sangat disayangi masyarakat bukan sahaja di Pasir Salak tetapi seluruh negara.

“Sudah pasti saya akan mencontohi beliau. Mana tumpahnya kuah kalau tak ke nasi. Mewarisi kepemimpinan ayahanda dan bonda, ditambah dengan kemampuan saya sendiri, insya-Allah ianya akan memandu saya memimpin dengan baik,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Dengan jawatan baharu yang disandang kini, Rahayu turut berkata, Wanita merupakan sayap penting dalam parti dan peranan itu harus sentiasa digilap untuk pembangunan diri yang berterusan demi kebaikan keluarga, jiran tetangga dan masyarakat.

“Sebelum dinobatkan sebagai Ketua Wanita Bahagian, saya telah berkhidmat sebagai Setiausaha Bahagian hampir 15 tahun, dan telah menjadi ahli Wanita UMNO sejak 2001.

“Selama 22 tahun ini, saya banyak belajar dan mengetahui selok belok politik dan berkhidmat untuk rakyat. Bersama ayahanda dan juga bonda, kami sentiasa merapati akar umbi dan bersama rakyat,” ujarnya.

Dalam bulan Ramadan ini, Rahayu berkata, pihaknya telah memulakan program turun padang iaitu Titian Kasih, di mana ia berkonsepkan ziarah dari rumah ke rumah dan program ini akan berterusan sepanjang tahun.

“Program pertama saya dan sedang berlangsung ialah Bazar Ramadan UMNO Pasir Salak anjuran Wanita UMNO Bahagian di Tapak Stesen Bas Kampung Gajah. Projek Bazar Ramadan ini membantu hampir 50 peniaga tempatan. Dalam pada masa yang sama, ia memberi peluang kepada orang kampung untuk membeli juadah berbuka puasa dengan mudah.

“Kemudian, program Wanita dalam bulan Ramadan ini juga dirancakkan lagi dengan mengadakan majlis Iftar di masjid-masjid sekitar bahagian Pasir Salak. Selepas berbuka, kita akan solat Maghrib, Isyak, Tarawih berjemaah dan kemudian Moreh.

“Harapan saya agar saya sentiasa mendapat sokongan daripada semua pihak terutamanya agensi kerajaan supaya dapat melancarkan dan tambah baik lagi perkhidmatan kami buat rakyat,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×