Gadis-gadis indie: Tak ramai tapi beri impak - Utusan Malaysia

Gadis-gadis indie: Tak ramai tapi beri impak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BELUM pernah lagi saya menulis tentang wanita di ruangan ini. Entah kenapa, tetamu wawancara saya juga sangat jarang menampilkan wanita.

Mungkin tidak cukup tetapi biarlah saya cuba menebus ketidakseimbangan gender dalam ruangan ini melalui artikel ini.

Sebut gadis indie, dua nama ini pasti muncul dalam kepala: Yuna dan Liyana Fizi. Mereka boleh dikatakan sebagai yang paling popular dan jenamanya melekat pada terma indie.

Yuna dan Liyana Fizi sendiri mempunyai rakan seangkatan yang ramai. Dalam lapangan penyanyi-pencipta, kita ada Ana Raffali, Zee Avi dan Melda Ahmad. Gadis berkugiran juga ramai seperti Joanna (Joanna & Co.), Yasmin Matthews (Maddthelin), Yuyun (The Rhaman), Widy dan Pedd (Gerhana Skacinta) serta ramai lagi.

Kini, biarlah kita berkenal-kenal pula dengan generasi baharu yang menyambung legasi kuasa wanita dalam lapangan muzik independen.

Leaism
Antara penyanyi terbaik yang ada dalam lapangan independen negara. Leaism sangat versatil, mampu menyampaikan lagu dalam apa jua genre dengan cemerlang dan jiwa pada vokalnya sering kali buat saya pejam mata melayan perasaan.

Eff Hakim
(Pastel Lite)
Penyanyi wanita yang sangat berkarakter. Bukan sahaja vokalnya memukau malah sikapnya di atas pentas sangat menarik dan berpotensi menjadi ikonik. Mungkin ada yang menggelarnya Mariya Takeuchi Malaysia tetapi saya lebih senang melihat Eff sebagai cerminan sisi-bukan-pop Francissca Peter.

Heidi Moru
Suara yang angelic dan karakter yang comel. Tak hairan kalau ramai yang menjadikan Heidi sebagai crush muzik. Potensi gadis Sabah ini sangat besar, maka eloklah para komposer segera mendekatinya, beri peluang Heidi menghembus nyawa pada lagu anda.

Senja & Timemachine
Bukan satu, tapi lapan orang saya beri. Senja dan Timemachine adalah dua kugiran berbeza tetapi sering digandingkan bersama. Mereka mencuri perhatian apabila menjadi kugiran jemputan dalam ALI 2020. Semua anggota mereka adalah wanita dan ini tuan-tuan, dipanggil kuasa wanita!

Wani Ardy
Dahulunya penulis, sekarang penyanyi. Wani Ardy memberikan warna yang sangat menarik kepada kanvas muzik independen tempatan apabila muncul dengan album Raskat. Lirik-lirik yang dihasilkannya langka (unik) dan kalau dibaca anak muda Twitter, mereka akan kata, “deep!”.

Celyn (Night Skies & Vision)
Celyn adalah antara vokalis yang suaranya mudah kita cam. Ada pelat Cina yang jelas pada artikulasinya dan tanpa dipaksa-paksa, suaranya merintih dalam nyanyian. Sebab itu apabila Night Skies & Vision tampil dengan sebuah lagu rock sendu berbahasa Melayu, Luka Dan Benci, ia sangat mesra di telinga.

Takahara Suiko (The Venopian Solitude)
Kalaulah saya ada harta bertimbun seperti Raja Thailand, saya beli tiara bertatah emas dan hadiahkannya kepada Takahara. Sebab dia permaisuri indie, simple.

Elly (Langkasuka)
Seorang lagi wanita dengan kuasa vokal penuh magis. Vokal Elly sangat cocok dengan muzik bawaan Langkasuka: klasik dan merdu. Saya syak kotak suaranya sebenarnya sebuah mesin masa sebab bila dia mula menyanyi, saya boleh mengembara merentasi masa.

Resya (Margosa)
Muka Lisa Blackpink, suara Jamal Abdillah. Haha, kelakarnya saya. Resya punya pakej yang lengkap. Orangnya cantik dan suaranya gemersik. Dengan lagu-lagu sedap yang ditawarkan Margosa, saya masih runsing nak salahkan siapa apabila Resya masih tidak dikenali ramai, tidak dihargai industri dan tak dapat pakai gaun kembang ke majlis anugerah besar-besar di Malaysia.

Bihzhu
Dia dikenali agak lewat. Sudah berbelas tahun menceburi industri tetapi penyertaannya dalam Anugerah Lagu Indie (ALI) 2020 melalui lagu I Am Enough yang membuatkannya dikenali ramai. Baru muncul dengan lagu terbaharu, Alive, positiviti tajaan Bihzhu perlu disebar jauh kepada lebih ramai orang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×