KUALA LUMPUR: Keretakan hubungan lebih teruk boleh berlaku jika tiada persefahaman antara gabungan parti dalam Kerajaan Perpaduan terutama melibatkan ‘pergeseran’ kenyataan antara UMNO dan DAP berhubung peranan masing-masing bagi menghadapi pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri.
Bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara itu jelas dilihat apabila dua pemimpin parti saling membalas kenyataan yang dilihat mampu memberi kesan negatif dan akhirnya boleh menyebabkan perpecahan.
“Apa pun yang kita buat mesti suka sama suka, kahwin paksa memang tak akan jadi. Jadi kalau kawin paksa macam ini, tidak ada perasaan antara satu sama lain, akan berlakulah keretakan.
“Setakat ini baru permulaan tetapi dah ada DAP komen tentang UMNO. UMNO komen tentang DAP. Kahwin paksa tidak boleh, dia mesti suka sama suka,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian sumbangan DD Cat kepada pusat jagaan perlindungan kucing terbiar di sini, semalam.
Terdahulu, Naib Pengerusi DAP Perak, Prof Aziz Bari berkata, beliau tidak nampak peranan UMNO dalam menarik sokongan orang Melayu kerana peranan itu kini dimainkan oleh Perikatan Nasional (PN).
Kenyataan itu kemudiannya dibalas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Nur Jazlan Mohamed dengan berkata, kesukaran parti itu menarik sokongan Melayu kerana melihat ada yang DAP sebagai liabiliti.
Jelas Jazlan, perkara itu menjadi cabaran kepada UMNO untuk memenangi semula keyakinan orang Melayu, terutama dalam menghadapi PRN akan datang.
Ismail Sabri yang juga bekas Perdana Menteri berkata, penerimaan kerjasama politik antara UMNO dan DAP seharusnya diterima di semua peringkat, bukan di peringkat kepemimpinan semata-mata.
“Suka sama suka ini bukan sahaja di peringkat kepemimpinan tetapi di peringkat umbi, kalau tidak ia akan menjadi lebih teruk lagi. Kita tengok, tunggu dan lihat,” ujarnya. – UTUSAN











