MBSB terima kelulusan MOF alih MIDF

MBSB terima kelulusan MOF alih MIDF

NOR AZAM M. TAIB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia Building Society Berhad (MBSB) mengumumkan menerima kelulusan untuk cadangan pengambilalihan Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF) daripada Permodalan Nasional Berhad (PNB).

Menurut kenyataannya, MBSB menerima pemberitahuan tersebut daripada Bank Negara Malaysia (BNM) bahawa Menteri Kewangan (MOF) telah memberikan kelulusannya.

Katanya, cadangan transaksi itu akan menghasilkan kumpulan perkhidmatan kewangan yang mempunyai permodalan yang baik dan berdaya tahan untuk bersaing dalam pasaran dengan kunci kira-kira yang lebih kukuh.

Seterusnya, ia akan mewujudkan kumpulan perbankan sejagat dengan perkhidmatan perbankan hujung ke hujung yang terdiri daripada perbankan pengguna, perbankan komersial dan perusahan kecil dan sederhana (PKS) dan kewangan pembangunan.

Selain itu, ia juga meliputi perbankan korporat, perbankan pelaburan dan pengurusan aset, memberi perkhidmatan kepada asas pelanggan yang lebih luas yang melangkaui kumpulan pelanggan MBSB Bank dan MIDF sedia ada.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBSB, Datuk Nor Azam M. Taib berkata,  syarikat dapat berkembang ke segmen pelanggan baharu dan lebih besar melalui gabungan kekuatan dan kepakaran kedua-dua MBSB Bank dan MIDF.

“Syarikat akan dapat berkembang ke segmen pelanggan baharu dan lebih besar melalui penyelesaian pembiayaan, penstrukturan dan nasihat yang disesuaikan untuk menyokong keperluan perniagaan dan pertumbuhan pelanggan dan pelanggan korporat,” katanya.

Butiran lanjut akan diumumkan selepas pelaksanaan perjanjian pembelian saham berkenaan dengan cadangan transaksi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×