Potensi PRF tarik 17,000 kapal di Selat Melaka

Potensi PRF tarik 17,000 kapal di Selat Melaka

ANTHONY Loke Siew Fook (tengah) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Westport, Eddie Lee Mun (tiga kanan) melakukan gimik pelancaran pecah tanah projek Kemudahan Penerimaan Pelabuhan Klang, dekat Pelabuhan Barat di Klang, Selangor, semalam. – UTUSAN/SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Pembinaan Kemudahan Penerimaan Pelabuhan (PRF) bernilai RM60 juta di Pelabuhan Klang bakal menjadi kemudahan pertama di negara ini bagi memproses bahan buangan pengangkutan marin mengikut peraturan Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO).

Ini kerana, apabila prasarana PRF lengkap sepenuhnya ia akan memproses bahan seperti minyak dan bahan yang mendatangkan mudarat kepada manusia dan alam sekitar  selain menjadi pusat kitar semula bahan terbabit.

Menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, apabila siap, PRF dijangka mampu menjadi hub kepada 17,000 kapal yang melalui Selat Melaka apabila kemudahan itu boleh menerima 50 ribu tan bahan buangan.

“Sebelum ini kapal-kapal melupuskan bahan buangan mereka di Singapura. Kewujudan PRF secara tidak langsung boleh menjana pendapatan untuk pelabuhan di negara ini.

“Pembinaan PRF diharap akan memastikan tiada aktiviti pelupusan bahan buangan pengangkutan marin yang akan menyebabkan berlaku risiko pencemaran alam sekitar seperti yang berlaku sebelum ini, ” katanya pada Majlis Pecah Tanah PRF Secara Maya di Menara Westports, Pelabuhan Barat, semalam.

Tambahnya, PRF yang dikendalikan oleh anak syarikat KA Petra Group diurus secara efisien selaras dengan kaedah-kaedah yang digariskan oleh Konvensyen Bagi Pencegahan Pencemaran Dari Kapal-Kapal (MARPOL).

Jelas Anthony Loke, penubuhan PRF juga akan memudahkan  proses mengenal pasti pihak yang melakukan pencemaran apabila tidak menggunakannya sebagai tempat pelupusan bahan buangan kapal-kapal mereka.

Bagaimanapun, beliau memaklumkan kerajaan belum memutuskan untuk mewajibkan kapal-kapal menggunakan PRF bagi melupus bahan buangan mereka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×