ARAU: UMNO diramal sukar meraih sokongan orang Melayu dalam tempoh terdekat termasuk pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka memihak Perikatan Nasional (PN).
Pemerhati politik berpendapat, masih tidak nampak usaha-usaha daripada UMNO yang lebih berkesan dalam menarik sokongan Melayu yang masih dingin dengan parti berkenaan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, pemerhati politik yang juga pensyarah Jabatan Bahasa dan Pengajian Umum Fakulti Perniagaan dan Komunikasi Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Muhammad Izmer Yusof berkata, UMNO bakal berdepan masalah cukup besar khususnya dalam mendepani PRN jika masih gagal menarik sokongan orang Melayu.

Katanya, dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) termasuk sehingga kini, trend sokongan Melayu terhadap PN khususnya di kawasan majoriti kaum tersebut semakin kukuh dan terus bertambah dengan sokongan pengundi-pengundi baharu.
“Sejak UMNO kalah (PRU15) namun masih kekal berkuasa di dalam kerajaan bersama Pakatan Harapan (PH), kita masih tidak nampak sebarang usaha atau agenda yang lebih berkesan dalam mengembalikan sokongan Melayu khususnya terhadap parti itu.
“Apa yang dilihat banyak tindakan yang lebih kepada mengukuhkan posisi presiden dan kita tidak nampak sebarang ‘post mortem’ kenapa UMNO kalah teruk pilihan raya dan ditolak oleh orang Melayu sendiri,” katanya.
Kelmarin Utusan Malaysia melaporkan, peranan UMNO menarik sokongan orang Melayu masih tidak jelas memandangkan peranan tersebut kini dimainkan oleh PN.
Naib Pengerusi DAP Perak, Dr. Aziz Bari dilaporkan berkata, ia berdasarkan rekod PRU15 apabila pada peringkat awalnya undi PN dijangka meleset, namun yang berlaku adalah sebaliknya.
Kata Aziz Bari, UMNO dilihat hanya menumpang kepada kekuatan PH kerana kelangsungan parti itu semakin pudar.
Rekod PRU15 sebelum ini menunjukkan prestasi cemerlang PN dengan meraih sokongan Melayu khususnya di luar bandar terhadap PN.
Malah, beberapa kerusi tradisi UMNO juga banyak yang tewas sehingga beberapa negeri tersungkur ke tangan PN.
Mengulas lanjut, Muhammad Izmer berkata, antara faktor mengapa UMNO ditolak orang Melayu antaranya disebabkan gagal mengekalkan Muafakat Nasional (MN) sebagai platform perpaduan ummah.
“Kegagalan ini dilihat cukup besar dan memberi kesan memandangkan Melayu dilihat kuat dibawah penyatuan UMNO, Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu),” katanya.
Sementara itu, katanya, kerjasama UMNO dan PH dalam mendepani PRN juga dilihat bakal memberi cabaran khususnya dalam soal pengagihan kerusi calon bertanding.
Katanya, adakah UMNO akan bertanding di semua kerusi kawasan Melayu manakala PH pula di kawasan majoriti pengundi Cina? – UTUSAN










