KUALA LUMPUR: Kerjasama kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini mampu menghalang ‘gelombang hijau’ yang mungkin boleh berlaku sekali lagi.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, penganalisis politik, Dr. Azmi Hassan berkata, ia berdasarkan rekod Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di mana Perikatan Nasional (PN) dilihat berjaya menarik undi Melayu pada ketika itu.
Menerusi rekod PRU15, menurut beliau, berlaku ‘penghijrahan’ pengundi kepada PN sehingga menyebabkan PH dan BN hilang undi.
“Satu faktor mudah untuk menarik pengundi Melayu atau menyekat ‘gelombang hijau’ atau gelombang PN seperti yang berlaku semasa PRU15 bagi negeri-negeri di timur dan utara, BN dilihat parti terbaik untuk menarik undi Melayu berbanding PKR dan Amanah.
“Jadi atas kertas dan dari segi logik, kerjasama perlu dilaksanakan antara BN dan PH, bukan sahaja untuk kuatkan kerjasama Kerajaan Perpaduan dalam menghadapi PRN di Kelantan Terengganu dan Kedah, dan semasa PRU15 negeri sebelah barat, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Selangor juga terdapat penghijrahan pengundi Melayu sokong PN. BN juga diperlukan di ketiga-tiga negeri ini,” katanya.
Malah, kata Azmi, kerjasama antara Kerajaan Perpaduan itu juga dapat mengelakkan perseteruan antara PH dan BN sewaktu berkempen, dan keadaan itu akan menjadi konflik antara kedua-dua parti itu.
“Sememangnya jika kerjasama dalam PRN tidak tercetus antara BN dan PH, maka Kerajaan Perpaduan di peringkat nasional akan dilihat sebagai tidak kukuh kerana semasa kempen akan berlaku perseteruan antara BN dan PH, jadi mahu tidak mahu PH dan BN perlu bekerjasama dalam PRN,” ujarnya.
Sementara itu, seorang lagi penganalisis politik, Dr. Salawati Mat Basir berkata, pergeseran sekali lagi akan berlaku sekiranya PH tidak bekerjasama dengan BN pada PRN kali ini.
Justeru, BN perlu bertindak mengikut keadaan semasa dengan mengambil langkah yang boleh mengelakkan berlakunya ketidakstabilan politik.
“Sememangnya akan terjejas kerjasama di antara mereka sebab dengan adanya BN, ia menambahkan lagi pengukuhan pada kestabilan kerajaan hari ini. Jika mengambil langkah berasingan, sekali lagi akan wujud ketidakstabilan dalam politik di negara kita,” ujarnya lagi. – UTUSAN










