PETALING: Funding Societies dan Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (CGC) telah menandatangani perjanjian Skim Jaminan Portfolio Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dengan objektif bersama untuk memacu pertumbuhan PKS Malaysia dengan menyediakan akses pembiayaan yang lebih mudah.
Menerusi kerjasama itu, Funding Societies dan CGC melanjutkan tranche pertama pembiayaan sehingga RM10 juta di bawah Skim Jaminan Portfolio PKS melalui penyelesaian pembiayaan digital terkemuka Funding Societies untuk manfaat perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang berkelayakan kredit, namun terpinggir dan kurang mendapat perhatian.
Kerjasama itu turut menandakan kolaborasi strategik pertama antara CGC dan sebuah platform pembiayaan digital PKS.
Di bawah skim itu, PKS berkelayakan boleh memohon untuk pembiayaan antara RM50,000 dan RM500,000.
PKS yang layak untuk Skim Jaminan Portfolio PKS itu akan mempunyai akses kepada pembiayaan untuk jangka masa yang lebih panjang dan menikmati kadar faedah keutamaan, terendah dalam kalangan portfolio pembiayaan Funding Societies sedia ada daripada segmen yang serupa, seterusnya memudahkan aliran tunai bulanan.
Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif, Kumpulan Funding Societies Modalku, Kelvin Teo berkata, pihaknya gembira kerana dapat mengukuhkan lagi kerjasama dengan CGC melalui Skim Jaminan Portfolio PKS itu.
“Dengan adanya skim ini, kami dapat memperluas akses kepada kemudahan pembiayaan untuk PKS yang terpinggir dan kurang mendapat perhatian dalam pasaran utama kami, iaitu Malaysia.
“Rata-rata PKS mungkin mempunyai model perniagaan yang berdaya maju namun tidak mempunyai cagaran untuk mendapatkan pembiayaan melalui saluran pembiayaan tradisional.
“Kemudahan pembiayaan kami akan menyokong PKS sama ada untuk mengembangkan atau menampung operasi mereka, terutamanya ketika PKS sedang bangkit semula dalam tempoh pasca pandemik yang serba berdaya tahan ini.
“Untuk pelabur kami pula, Skim Jaminan Portfolio PKS turut mengurangkan risiko ketidakupayaan membayar balik pembiayaan oleh PKS,” katanya dalam kenyataan.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif CGC, Datuk Mohd. Zamree Mohd. Ishak pula berkata, CGC berbesar hati kerana dapat melancarkan skim Jaminan Portfolio (PG) itu dengan Funding Societies, kerjasama pertama dengan platform pembiayaan digital PKS.
Ujarnya, PG berjumlah RM10 juta itu akan membolehkan Funding Societies menawarkan kadar pembiayaan yang lebih rendah dan tempoh bayaran balik yang lebih panjang sehingga 60 bulan berbanding tempoh sekarang sehingga 18 bulan kepada PMKS yang terpinggir dan kurang mendapat perhatian.
“Kami yakin bahawa PG ini akan memberikan akses pembiayaan yang lebih baik kepada PMKS melalui platform digital.
“Selain itu, kerjasama CGC dengan pemain bukan tradisional akan mengukuhkan lagi ekosistem kewangan yang penting untuk mendorong pertumbuhan dan pembangunan PMKS,” katanya. – UTUSAN









