PETALING JAYA: SNS Network (M) Sdn. Bhd., anak syarikat SNS Network Technology Berhad (SNS), dianugerahkan `Rakan Strategik Perniagaan Perusahaan (Segmen Pendidikan)’ oleh Samsung Malaysia Electronics (SME) Sdn. Bhd. pada 7 APril lalu.
Menurut SNS, anugerah itu mengiktiraf komitmen Kumpulan untuk memajukan pendidikan melalui teknologi selain kerjasama dengan Samsung Malaysia dalam pelbagai projek.
“Pengiktirafan ini menyerlahkan usaha dan dedikasi Kumpulan untuk mempromosikan pendidikan digital,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, pemberian tablet kepada pelajar merupakan langkah yang perlu ke arah mencapai pendigitalan dalam pendidikan kerana peranti itu menawarkan pelbagai ciri canggih yang dapat meningkatkan proses pembelajaran dan mendedahkan pelajar kepada pelbagai pengetahuan.
Tambahnya, dengan bantuan tablet pelajar boleh belajar dengan lebih berkesan dan cekap, kerana mereka boleh mengakses koleksi sumber pendidikan yang luas dan bahan pembelajaran interaktif.
“Ia juga menyediakan pelajar untuk permintaan teknologi masa depan. Selain itu, dengan menggabungkan peranti digital ke dalam persekitaran pembelajaran, pelajar dapat mengembangkan kemahiran kritikal seperti penyelesaian masalah, celik digital, dan kebolehsuaian yang penting untuk berjaya dalam abad ke-21,” jelasnya.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif SNS, Kelvin Pah berkata, anugerah itu menunjukkan komitmen bersama kedua-dua pihak untuk meningkatkan pendidikan melalui teknologi.
Kata beliau, bekerjasama dengan Samsung Malaysia dalam inisiatif untuk menyediakan tablet kepada pelajar boleh meningkatkan celik digital dan menggalakkan pelajar membiasakan diri dengan teknologi yang berguna untuk masa depan mereka.
“Kami percaya kerjasama kami dengan Samsung Malaysia akan membuka jalan bagi pendekatan baharu dan inovatif terhadap pendidikan, dan kami berharap dapat bekerjasama untuk mengubah kehidupan pelajar di Malaysia,” katanya.
Presiden Samsung Malaysia Electronics, Denny Kim pula berkata, pihaknya menghargai SNS kerana memilih Samsung Malaysia sebagai rakan kongsi mereka untuk projek penting tersebut.
“Kami percaya bahawa objektif projek ini adalah untuk melengkapkan generasi muda dengan kemahiran yang diperlukan untuk menavigasi dunia yang semakin digital,” katanya. – UTUSAN










