PETALING JAYA: CTOS Data Systems Sdn. Bhd. menandatangani memorandum persefahaman (MOU) dengan SBH Corporate Group Sdn. Bhd. (SBH) bagi mempromosikan pelbagai program pendidikan kewangan.
SBH Corporate menjalankan perniagaan di bawah nama SBH Financial Consultancy, iaitu antara perunding kewangan profesional di Malaysia.
Menerusi MOU itu, SBH Financial Consultancy sebagai rakan kongsi CTOS akan mempromosikan pelbagai program pendidikan kewangan, selain menawarkan laporan MyCTOS Score dan CTOS SecureID secara langsung kepada pelanggannya untuk menentukan kesihatan kredit dan melindungi mereka daripada penipuan.
Ketua Pegawai Eksekutif CTOS Data, Eric Chin berkata, sebagai sebuah agensi pelaporan kredit, misi syarikat adalah untuk memperkasakan individu dan perniagaan bagi mendapat akses kepada kredit dan memberikan mereka masa hadapan yang lebih baik.
“Sebahagian besar daripada misi ini adalah untuk membantu mendidik dan memaklumkan orang ramai mengenai sumber yang sedia ada untuk kegunaan mereka,” katanya dalam kenyataan.
Kata beliau, selama beberapa tahun, CTOS telah menjalankan banyak program celik kewangan berkaitan pengguna, melibatkan semua lapisan masyarakat untuk meningkatkan kesedaran awam mengenai kepentingan kesihatan kredit untuk kewangan masa hadapan yang lebih baik.
Program-program itu termasuk lebih 400 jerayawara tentang pendidikan kewangan dan webinar di seluruh negara dengan kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM), Kementerian Kewangan, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), lain-lain agensi kerajaan, bank dan pemaju hartanah.
“Dengan cara yang sama, SBH Financial Consultancy telah membantu ramai individu serta perusahaan kecil dan sederhana (SME) dalam menilai, mengkaji semula, merancang dan menyelesaikan hutang mereka sejajar dengan matlamat CTOS untuk memperbaiki kesihatan kewangan,” katanya.
Sementara itu, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif SBH Consultancy, San Tsen berkata, misi SBH adalah untuk meningkatkan tahap kecelikan kewangan rakyat Malaysia.
“Kami kerap memberi rundingan percuma dan mengadakan bengkel serta seminar kepada kedua-dua individu dan syarikat terutamanya PKS untuk memberi nasihat profesional dalam menguruskan kewangan mereka,” katanya. – UTUSAN










