ARAU: Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim menafikan dakwaan beliau bakal menggantikan tempat Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.
Sambil menyifatkan perkara itu sebagai tidak berasas, beliau berkata, Hamzah selaku Ketua Pembangkang yang dipilih oleh Perikatan Nasional (PN) telah memainkan peranan yang cukup baik.
Shahidan turut memberi analogi beliau yang sentiasa bangun mencelah setiap kali sesi perbahasan adalah seperti ‘striker’ bagi PN manakala Hamzah pula sebagai kapten pasukan.
“Sebagai Ahli Parlimen PN, kita telah pilih Hamzah sebagai Ketua Pembangkang dan beliau telah memainkan peranan yang cukup baik. Saya bukan Ketua Pembangkang yang selalu bangun mencelah setiap kali.
“Kalau Ketua Pembangkang, tidak boleh bercakap hari-hari (dalam sidang Parlimen) sebaliknya memberi ruang kepada Ahli Parlimen PN yang lain.
“Saya umpama seperti ‘striker’ dalam satu pasukan yang hebat manakala Hamzah pula sebagai kapten manakala Presiden kami (Tan Sri Muhyiddin Yassin) pengurus pasukan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.
Terdahulu media melaporkan, Shahidan antara dua ahli Parlimen daripada PN yang disebut-sebut bakal menggantikan tempat Hamzah sebagai Ketua Pembangkang.
Selain Ahli Parlimen Arau itu, nama Ahli Parlimen Ketereh, Datuk Khlir Mohd. Nor juga disebut-sebut sebagai pengganti tempat Hamzah.
Hamzah dikatakan gagal memainkan peranannya sebagai Ketua Pembangkang yang aktif sepanjang sidang Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen Kelima Belas (2023) yang berlangsung sejak 3 Februari hingga 4 April lalu.
Sebelum itu, Speaker Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul secara bergurau juga pernah menyebut nama Shahidan sebagai calon Ketua Pembangkang yang baik.
Ini kerana, Shahidan sentiasa bangun mencelah setiap kali sesi perbahasan bagi pihak kerajaan.
Sementara itu Shahidan berkata, sebagai ‘striker’ beliau memainkan peranan secara lebih agresif dalam menyuarakan suara rakyat di Parlimen selain mendesak kerajaan membabitkan pelbagai isu berbangkit.
“Antaranya seperti isu peruntukan kepada Ahli Parlimen Pembangkang yang tidak diberikan. Disebabkan itu juga, ahli Parlimen pembangkang mengeluarkan peruntukan sendiri dalam membantu rakyat,” katanya. – UTUSAN











