Industri pelancongan amat menarik bagi penipu - Palo Alto 

Industri pelancongan amat menarik bagi penipu – Palo Alto 

PANTAI Cenang yang menawarkan pelbagai aktiviti air antara lokasi yang terus menjadi tumpuan pelancong setiap kali bercuti di Langkawi. - GAMBAR HIASAN/UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Industri pelancongan amat menarik bagi penipu kerana ia merupakan sumber data sensitif dan peribadi yang besar, menurut platform keselamatan siber, Palo Alto Networks.

Naib Presiden Rantau ASEANnya, Steven Scheurmann, perayaan Aidilfitri yang merupakan musim cuti terbesar di Malaysia, bakal menyaksikan pengembara melancong secara serentak dan dijangka terdapat persaingan sengit untuk tiket dan tempahan perjalanan serta tawaran-tawaran hebat melalui ejen dan aplikasi pelancongan dalam talian.

Kata beliau, penipu melihat situasi itu sebagai peluang untuk dieksploitasi terutama melalui enjin sosial dan phishing.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan pengembara dan syarikat pelancongan agar berhati-hati mengenai kebocoran maklumat data pelanggan seperti identiti, pembayaran dan maklumat hubungan.

“Kami telah melihat berulang kali bagaimana penipu mengambil peluang daripada keghairahan orang ramai untuk mengembara serta keinginan mereka untuk melancong dengan harga yang berpatutan,,” katanya dalam kenyataan.

Menurut beliau, antara penipuan berkaitan pelancongan paling biasa berlaku ialah penggunaan domain dan URL berniat jahat, phishing e-mel atau whatsApp teks kepada pengguna akhir dan menawarkan perkhidmatan ‘agensi pelancongan bayangan.’

Jelasnya, penipu akan menghubungi pengembara melalui pelbagai platform media sosial, menyediakan tempahan yang berkaitan dengan perjalanan pada harga diskaun yang tinggi.

Kata beliau, semasa pengembara memindahkan wang bersih kepada`agensi pelancongan bayangan,’ ia membayar penyedia perkhidmatan sebenar seperti hotel atau syarikat penerbangan, dengan maklumat pembayaran yang dicuri.

“Disebabkan oleh jurang masa dalam pemprosesan pembayaran, penyedia perkhidmatan hanya menyedari bahawa mereka telah ditipu apabila mereka melihat transaksi kad yang dipertikaikan atau caj balik minggu atau bulan kemudian,” jelasnya.

Steven menasihati pengembara agar lebih berhati-hati apabila mengklik mana-mana pautan atau lampiran yang mengandungi e-mel mencurigakan terutama berkaitan tetapan akaun atau maklumat peribadi.

“Semak semula URL dan sijil keselamatan setiap tapak web sebelum memasukkan bukti kelayakan log masuk mereka dan laporkan percubaan phishing yang disyaki,” nasihat beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×