Industri Takaful rekod peningkatan kukuh 

Industri Takaful rekod peningkatan kukuh 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Persatuan Takaful Malaysia (MTA) mengumumkan prestasi cemerlang dengan peningkatan kukuh sebanyak 18 peratus dan 23 peratus bahagian pasaran sumbangan bersih dipacu oleh pertumbuhan kukuh industri pada 2022.

Pengerusinya, Elmie Aman Najas berkata, pertumbuhan positif industri ini berikutan beberapa faktor termasuk populariti produk takaful yang semakin meningkat di kalangan pengguna, pengenalan produk inovatif baharu dan penggunaan teknologi digital untuk meningkatkan penyampaian perkhidmatan.

Katanya, takaful keluarga mencapai kadar penetrasi sebanyak 20.1 peratus pada 2022 berbanding 18.6 peratus pada tahun sebelumnya.

“Kita sedang menyaksikan permintaan tinggi untuk produk takaful, di mana semakin ramai rakyat Malaysia menyedari kepentingan melindungi diri dan keluarga mereka daripada risiko kewangan.

“Bilangan sijil yang aktif untuk 2022 telah meningkat kepada 6.63 juta sijil, berbanding 6.07 juta pada 2021,” katanya pada Majlis Berbuka Puasa MTA bersama media dan pengumuman prestasi takaful 2022 di Kuala Lumpur Golf & Country Club (KLGCC) di sini malam tadi.

Sementara itu, beliau berkata, pasaran takaful keluarga menunjukkan ketahanan yang kuat dengan sumbangan takaful tahunan bagi perniagaan baharu yang dikekalkan di atas paras RM2 bilion, dengan catatan RM2.19 bilion , turun 1.9 peratus berbanding dengan RM2.23 bilion pada 2021.

Secara keseluruhan, industri perniagaan baharu takaful keluarga mencatat sumbangan kasar sebanyak RM10.06 bilion, peningkatan sebanyak 18.3 peratus berbanding dengan RM8.5 bilion pada 2021.

Beliau berkata, perniagaan takaful am menyumbang sumbangan langsung kasar sebanyak RM4.64 bilion, dengan perniagaan takaful kenderaan menyumbang sebanyak RM3.07 bilion, dan perniagaan takaful kebakaran sebanyak RM0.84 bilion.

“Ini adalah peningkatan masing-masing sebanyak 21.1 peratus, 20.7 peratus dan 23.5 peratus daripada prestasi pada 2021.

“Bagi 2022, industri Takaful membayar sejumlah RM7.02 bilion dalam tuntutan bersih, meningkat 25.9 peratus daripada tahun sebelumnya pada RM5.58 bilion,” ujarnya.

Mengulas mengenai prospek 2023, MTA mengharapkan industri takaful dapat mengekalkan momentum pertumbuhannya walaupun pada kadar yang sederhana, memandangakn negara masih berada dalam fasa pemulihan pandemik.

“Industri ini tetap komited untuk menyediakan perlindungan takaful yang mudah diakses dan berpatutan kepada semua rakyat Malaysia, sebagai antara usaha untuk menyokong pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negara,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×