PETALING JAYA: CARSOME Academy akan bekerjasama dengan Sunway University untuk membangunkan modul kemahiran insaniah (Soft skills) untuk institusi latihan TVET di bawah program Sijil Kemahiran Malaysia (SKM).
Ia merupakan kurikulum kemahiran insaniah yang pertama seumpamanya untuk institusi TVET Automotif yang dibangunkan oleh CARSOME Academy dengan kerjasama Sunway University
Kurikulum itu mengandungi enam modul kemahiran insaniah iaitu modul asas dan modul pertengahan Bahasa Inggeris, Konsep Asas Kemahiran Komunikasi Teknologi Maklumat, Prinsip pengurusan serta kemahiran berfikir dan penyelesaian masalah.
Kurikulum kemahiran itu dibangunkan selaras dengan keperluan untuk menyediakan set kemahiran yang lebih holistik untuk pelajar automotif dengan tumpuan mempertingkatkan sifat peribadi graduan CARSOME Academy supaya
mereka dapat berinteraksi dalam dunia sebenar dengan lebih berkesan.
Pengasas Bersama CARSOME dan Ketua Pegawai Eksekutif CARSOME Academy, Jiun Ee Teoh berkata, melengkapkan pelajar dengan kemahiran insaniah dan teknikal akan meningkatkan kebolehpasaran graduan TVET CARSOME Academy.
“Ia juga meningkatkan peluang mereka untuk berjaya mendapat peluang penempatan kerja di industri. Akhirnya, mereka akan menjadi rakyat Malaysia yang memberi kesan produktif dalam ekonomi,” katanya.
Kata belau, pendekatan CARSOME Academy adalah sentiaa mengutamakan DNA industri automotif dan fokus utama adalah pelajar.
“Realitinya kemahiran teknikal sahaja tidak mencukupi untuk para pelajar mendapat tempat di industri. Mereka perlu bekerja bersama dengan orang lain dalam satu pasukan untuk menyelesaikan masalah, membangunkan perkhidmatan baharu dan mencapai matlamat organisasi,” tambah beliau.
Presiden Sunway University, Prof. Sibrandes Poppema pula berkata, Sunway University berbesar hati bekerjasama dengan CARSOME Academy untuk membangunkan modul kemahiran insaniah untuk pelajar CARSOME Academy dan
TVET sebagai sebahagian daripada laluan pendidikan holistik untuk meningkatkan kebolehpasaran mereka. – UTUSAN










