PRN: Pembahagian kerusi PN 80 peratus

PRN: Pembahagian kerusi PN 80 peratus

TUAN IBRAHIM TUAN MAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perbinca­ngan agihan kerusi Dewan Unda­ngan Negeri (DUN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) dalam kalangan parti komponen Perikatan Nasional (PN) telah mencapai 80 peratus.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pembahagian kerusi DUN tersebut dibuat secara muafakat melibatkan seluruh parti komponen PN.

Katanya, perbincangan pu­­singan pertama tersebut berjalan dengan lancar dan teratur.

“Perbincangan pusingan per­tama telah pun selesai dan pembahagian kerusi DUN tersebut membabitkan enam negeri yang bakal mengadakan PRN sudah pun mencapai 80 peratus.

“Saya jangkakan pembahagiannya akan dimuktamadkan dalam sebulan lagi, mungkin selepas sambutan Aidilfitri kerana semua parti komponen PN akan bertemu sekali lagi bagi membincangkan perkara tersebut,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Enam negeri dijangka membubarkan DUN secara serentak bagi memberi laluan pilihan raya untuk menentukan pimpinan baharu kerajaan negeri iaitu Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.

Tiga daripada negeri tersebut iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu ditadbir oleh Pas yang juga parti komponen PN.

Sementara Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan ditadbir oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Semua negeri terbabit dijangka membubarkan DUN se­rentak selewat-lewatnya Jun ini.

Mengulas mengenai ke­yakinan Pas mempertahankan Kedah, Kelantan dan Terengganu ada PRN ini, Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata, sokongan masih kuat namun pihaknya tidak mahu memandang mudah saingan daripada parti lawan.

“Walaupun berdasarkan tinjauan yang kita buat, sokongan rakyat masih kuat terhadap PN, namun kita tidak mahu ambil mudah atau terlalu yakin.

“Jadi gerak kerja di peringkat akar umbi terus dijalankan seperti PRU15 (Pilihan Raya Umum Ke-15) lalu supaya sokongan rakyat terus bersama PN,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×