SABAK BERNAM: Tiada pertembungan calon antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Sungai Besar, iaitu Sungai Panjang dan Sekinchan.
Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md. Yunos berkata, kerusi DUN Sungai Panjang masih di bawah BN menerusi Datuk Mohd. Imran Tamrin manakala Ng Suee Lim di Sekinchan.
“Tiada pertembungan antara dua gabungan itu kali ini dan ia mungkin hanya satu lawan satu (dengan Perikatan Nasional),” katanya pada program Iftar Ramadan UMNO di Sekinchan.
Jelas beliau, pihaknya kini dalam proses menyakinkan ahli dan akar umbi UMNO supaya terus memberi undi kepada calon.
“Sokongan itu bukan saja melibatkan calon BN malah dari parti lain iaitu PKR, Amanah dan DAP. Kita di Selangor sememangnya sudah bersedia menghadapi PRN di bawah Kerajaan Perpaduan bersama PH,” ujarnya.
Menurut Jamal, rundingan bersama pengurusan tertinggi UMNO negeri dan pusat selepas Aidilfitri akan menentukan jumlah kerusi yang bakal ditandingi kelak.
Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya menyokong penuh Pengampunan Diraja untuk membebas dan melepaskan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. – UTUSAN











