Perdagangan borong, runcit meningkat kepada RM134.3 bilion

Perdagangan borong, runcit Februari 2023 meningkat kepada RM134.3 bilion

JUALAN kenderaan bermotor yang berkembang sebanyak 36.1 peratus, menyumbang kepada peningkatan nilai jualan perdagangan borong dan runcit Malaysia pada Februari 2023 berjumlah RM134.3 bilion. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Nilai jualan perdagangan borong dan runcit Malaysia pada Februari lalu, mencatatkan peningkatan 14.7 peratus kepada RM134.3 bilion, menurut laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, peningkatan disumbangkan oleh subsektor perdagangan runcit yang mengatasi subsektor lain dengan peningkatan sebanyak 19.2 peratus atau RM9.4 bilion kepada RM58.2 bilion.

Beliau berkata, kenderaan bermotor juga berkembang sebanyak 36.1 peratus atau RM4.5 bilion kepada RM16.9 bilion, manakala perdagangan borong meningkat 5.9 peratus atau RM3.3 bilion kepada RM59.1 bilion.

Walau bagaimanapun katanya, nilai jualan perdagangan borong dan runcit menurun 0.6 peratus bulan ke bulan, disebabkan oleh subsektor perdagangan borong dan perdagangan runcit yang masing-masing merosot sebanyak 2.0 peratus dan 2.4 peratus.

“Mengikut subsektor, pertumbuhan subsektor perdagangan runcit sebanyak 19.2 peratus pada Februari 2023 disokong oleh jualan runcit di kedai bukan pengkhususan yang meningkat 21.1 peratus atau RM3.9 bilion kepada RM22.1 bilion.

“Kumpulan lain dalam subsektor ini turut mencatatkan pertumbuhan positif iaitu jualan runcit di kedai pengkhususan 24.2 peratus, jualan runcit bahan api kenderaan (45.9 peratus); makanan, minuman & tembakau (18.4 peratus); barangan isi rumah (7.5 peratus), peralatan komunikasi & maklumat (8.0 peratus); bukan di kedai, gerai atau pasar (14.0 peratus) dan gerai & pasar (21.0 peratus).

“Walau bagaimanapun, bagi perbandingan bulan ke bulan, jualan subsektor ini menurun 2.4 peratus,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Mohd. Uzir berkata, pertumbuhan sebanyak 36.1 peratus dalam subsektor kenderaan bermotor disumbangkan oleh jualan kenderaan bermotor yang meningkat 49.8 peratus atau RM3.1 bilion kepada RM9.3 bilion.

Ia diikuti oleh jualan komponen & aksesori kenderaan bermotor sebanyak 22.6 peratus; penyelenggaraan & pembaikan kenderaan bermotor (21.2 peratus) dan penyelenggaraan & pembaikan motosikal (24.4 peratus).

“Bagi perbandingan bulan ke bulan, jualan subsektor ini meningkat sebanyak 11.7 peratus, disumbangkan oleh kenaikan pada jualan kenderaan bermotor sebanyak 21.3 peratus,” katanya.

Mengenai subsektor perdagangan borong, beliau berkata, kenaikan 5.9 peratus disumbangkan oleh jualan borong barangan isi rumah yang meningkat sebanyak RM1.7 bilion atau 15.8 peratus kepada RM12.5 bilion.

Katanya, ia diikuti oleh jualan borong makanan, minuman & tembakau sebanyak 9.9 peratus; bahan mentah pertanian & haiwan hidup (10 peratus) dan bukan pengkhususan (6.1 peratus).

“Sebaliknya, bagi perbandingan bulanan, perdagangan borong menurun 2.0 peratus, disumbangkan terutamanya oleh jualan borong makanan, minuman & tembakau yang menguncup 5.1 peratus kepada RM12.0 bilion,” jelas beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×