KUALA TERENGGANU: UMNO Terengganu yakin pengundi negeri itu menyedari kesilapan memilih Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.
Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Said berkata, walaupun PN menang lapan kerusi Parlimen pada PRU15, kerajaan negeri tidak mampu membawa lebih banyak projek pembangunan di Terengganu.
Katanya, keadaan tersebut menyebabkan rakyat Terengganu menanggung kerugian kerana ketinggalan dalam arus pembangunan ekoran tidak seiring dengan kerajaan Pusat.
“Kemenangan besar yang dicapai PN dalam PRU15 tidak mampu membela nasib rakyat termasuk menawarkan peluang-peluang pekerjaan di negeri ini,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Dalam pada itu, Ahmad Said berkata, UMNO tidak berasa gerun dengan sasaran PN negeri ini yang mahu menawan kesemua 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN).
Katanya, pemimpin Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) boleh meletakkan sasaran tersebut tetapi UMNO percaya pengundi Terengganu mula menyedari kesilapan mengundi PN pada PRU15.
Sehubungan itu, Ahmad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal mengingatkan pengundi tidak membuat kesilapan memilih PN dalam PRN bagi memastikan lebih banyak pembangunan dapat dilaksanakan di negeri ini.
“Saya percaya pengundi kembali memberi sokongan kepada BN dan PH selepas menyedari mereka terperdaya dengan janji-janji PN sebelum ini,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, BN dan PH telah mengadakan perbincangan awal sebagai persediaan menghadapi PRN.
“Ia melibatkan agihan kerusi dan yakin dapat dicapai dalam sesi perbincangan selepas ini,” tambahnya. – UTUSAN









