Empat dekad sistem perbankan Islam di Malaysia

Empat dekad sistem perbankan Islam di Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JUNJUNGAN besar Nabi Muhammad SAW diriwayatkan menerima ayat suci al-Quran buat pertama kalinya dari malaikat Jibril, ketika baginda berumur 40 tahun di gua Hira’, Makkah di dalam bulan Ramadan. Dengan terturunnya ayat suci pertama ini, bermulalah Nubuwwah Baginda Rasulullah dan amanah untuk menyampai, menyebar dan menegakkan syariat Islam di muka bumi ini. Baginda menghadapi banyak ujian dan halangan dalam usaha ini. Berkat pengorbanan Baginda beserta dengan ahli keluarga dan sahabat-sahabat, Islam kini telah tersebar luas ke serata pelosok dunia. Setakat 2023, jumlah umat Islam dianggarkan seramai lebih 2 bilion orang yakni lebih kurang 25 peratus daripada keseluruhan penduduk dunia.

Bagi masyarakat umum di Malaysia, mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawa sempena bulan Ramadan 1444 ini termaktub satu peristiwa penting bagi industri kewangan Islam negara, iaitu pada tanggal 20 Ramadan ini, tertubuhnya institusi perbankan Islam yang pertama di Malaysia, iaitu Bank Islam Malaysia Berhad lebih 40 tahun yang lalu. Tarikh ini juga menandakan bermulanya pelaksanaan kerangka sistem kewangan Islam di negara ini. Kerangka tersebut terbina di atas cadangan-cadangan yang dikemukakan dalam Laporan Jawatankuasa Pemandu Kebangsaan Bank Islam (Jawatankuasa PKBI), yang kini terbukti telah berjaya mencetuskan pembinaan satu industri kewangan Islam yang kukuh serta berdaya saing di peringkat global.

Salah satu perkara khusus yang digariskan oleh Jawatankuasa PKBI adalah falsafah dan prinsip sebuah bank Islam. Falsafah-falsafah yang ditekankan, selain daripada membasmi amalan riba, adalah bertujuan menggalakkan perkongsian kekayaan, meluaskan pelaburan harta bagi meningkat produkti­vitinya serta membangunkan aktiviti ekonomi tempatan, memperkemaskan kegiatan kebajikan, menyatupadukan ummah dan menghayati sunnah Rasulullah SAW berhubung dengan perniagaan dan kegiatan ekonomi. Selain itu, Jawatankuasa PKBI telah mengambil pendekatan bahawa, walaupun antara matlamat sebuah bank Islam adalah terkait dengan kebaikan sosial dan ke­rohanian masyarakat, kejayaan bank Islam tersebut juga bergantung kepada daya maju dan pres­tasi perniagaannya. Oleh yang demikian, unsur keuntungan juga seharusnya menjadi matlamat yang ditekankan dalam penubuhan bank ini.

Dalam tempoh empat dekad, model perniagaan institusi-institusi perbankan Islam di Malaysia, yang dikawal selia oleh Bank Negara Malaysia, kini boleh dirumuskan sebagai satu model perniagaan yang berjaya. Ia berupaya untuk mencatatkan keuntungan sehingga berbilion ringgit dan mampu mengeluarkan zakat sehingga berjuta ringgit. Rekod pulangan dividen kepada pemegang-pemegang sahamnya juga telah menunjukkan kadar yang setara dan mampu berdaya saing dalam pasaran kewangan.

Namun begitu, satu perkara yang harus diambil kira oleh pemegang taruh, terutamanya di peringkat kepimpinan, tatkala industri ini menjangkau ke tahun ke-40annya dan dengan kerangka industri perbankan Islam yang tersedia, apakah pula hala tuju industri ini untuk jangka masa 40 tahun yang mendatang? Bolehkah falsafah-falsafah yang dirumuskan oleh Jawatankuasa PKBI, dapat diterjemah dan diterapkan secara lebih tuntas dan menyeluruh untuk membolehkan lebih ramai ahli masyarakat terutamanya golongan asnaf mendapat manfaat dari sistem perbankan Islam negara?

Jawapannya mungkin ada di dalam sunnah-sunnah Baginda Rasulullah SAW yang boleh diamal dan diterapkan dalam kepimpinan dan pengurusan institusi perbankan Islam secara lebih tuntas. Sekiranya dapat dilaksanakan, industri kewangan Islam berkemungkinan dapat disebarkan sebagai syariat Islam di muka bumi ini, dengan izinNya. Semuanya terletak di bahu segenap lapis pemegang taruh yang terlibat. Genggam bara api, biar sampai jadi arang.

PENULIS adalah Ketua Pegawai Eksekutif IBFIM. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×