MELAKA: DNA UMNO sebagai parti memperjuangkan hak dan keistimewaan orang Melayu kekal, meskipun landskap politik negara berubah di mana parti perlu menjalinkan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) untuk membentuk kerajaan perpaduan di Persekutuan termasuk Perak, Pahang dan Melaka.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Menteri Melaka baharu, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, UMNO kini merupakan kuasa pengimbang yang dipertanggungjawabkan menjadi peneraju orang Melayu pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Beliau berkata, ia dilihat jelas melalui portfolio Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah yang memegang amanah menguruskan agensi-agensi berkaitan bumiputera seperti Majlis Amanah Rakyat (Mara), Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra).
“Sedangkan UMNO masih berpegang teguh kepada mempertahankan hak-hak istimewa orang Melayu. Itu juga perjanjian yang dimeterai untuk kerajaan perpaduan di antara parti gabungan yang membentuk kerajaan di Putrajaya.
“UMNO boleh bergabung, seperti mana saya cakap awal tadi UMNO tidak boleh membentuk kerajaan tetapi tanpa UMNO kerajaan tidak boleh dibentuk. Jadi jambatannya adalah mesti dipersetujui bahawa hak istimewa orang Melayu ini dilindungi dan terajunya mesti UMNO. Jadi UMNO adalah kuasa pengimbang begitu juga di Melaka.
AMANAH
“Maka Timbalan Perdana Menteri memegang amanah orang Melayu dan saya di Melaka juga memegang amanah orang Melayu. Kalau takut jatuh jangan memanjat, kalau takut lemas jangan berenang. Jadi saya mengatakan, saya membuat sesuatu keputusan dan tanggungjawab itu saya pikul demi agama, bangsa dan negara,” katanya dalam wawancara di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini.
Ab. Rauf yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka Ke-13 di Pejabat Yang Dipertua Negeri Melaka di Seri Negeri, kira-kira pukul 3.33 petang, 31 Mac lalu.
Ab. Rauf, 61, sebelum ini berkhidmat sebagai Pengerusi Kanan Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Koperasi dan Usahawan Melaka dicalonkan UMNO bagi menggantikan ADUN Lendu, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali yang melepaskan jawatannya berikutan masalah kesihatan.
Tambah Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka itu, pembentukan kerajaan negeri perpaduan di Melaka meskipun Barisan Nasional (BN) memiliki 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) merupakan satu naratif baharu untuk meruntuhkan tembok prasangka.
Jelasnya, pelantikan seorang wakil rakyat PH sebagai ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) turut membuktikan UMNO mengamalkan keterbukaan tiada sempadan demi kebaikan rakyat.
“Tiada sempadan maksudnya kita menghilangkan tembok prasangka demi rakyat. Kalau kita tengok keputusan PRU15, mustahil UMNO boleh membentuk kerajaan kerana kemenangannya minoriti lebih kurang 29 kerusi Parlimen,” kata beliau. – UTUSAN











