PETALING JAYA: Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) naik kepada AS$115.5 bilion pada 31 Mac 2023 berbanding AS$114.0 bilion pada 15 Mac 2023.
BNM dalam satu kenyataan berkata, paras rizab berkenaan telah mengambil kira perubahan suku tahunan bagi penilaian semula pertukaran asing.
Katanya lagi, paras rizab itu memadai untuk membiayai 5.1 bulan import barangan dan perkhidmatan, dan 1.1 kali jumlah hutang luar negeri jangka pendek.
“Komponen utama rizab antarabangsa adalah rizab mata wang asing (AS$103.1 bilion), kedudukan rizab Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) (AS$1.4 bilion), Hak Pengeluaran Khas (SDR) (AS$5.8 bilion), emas (AS$2.5 bilion) dan aset rizab lain (AS$2.7 bilion).
“Aset itu merangkumi emas, pertukaran asing dan rizab-rizab lain termasuk SDR (RM509.89 bilion), kertas kerajaan Malaysia (RM12.42 bilion), deposit dengan institusi kewangan (RM4.63 bilion), pinjaman dan pendahuluan (RM23.76 bilion), tanah dan bangunan (RM4.14 bilion) serta aset-aset lain (RM72.63 bilion),” katanya.
Sementara itu, modal dan liabiliti terdiri daripada modal berbayar (RM100 juta), rizab (RM164.96 bilion), mata wang dalam edaran (RM161.06 bilion), deposit oleh institusi kewangan (RM214.58 bilion), deposit kerajaan Persekutuan (RM7.35 bilion), deposit lain (RM37.41 bilion), kertas Bank Negara (RM8.52 bilion), peruntukan SDR (RM28.73 bilion) dan liabiliti-liabiliti lain (RM4.77 bilion). – UTUSAN










