PETALING JAYA: MBSB Bank Berhad (MBSB Bank) menawarkan kemudahan Fasiliti Sokongan Akaun 2 (FSA2) patuh syariah Ihsan-i kepada ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bermula 7 April 2023 (hari ini).
Kemudahan Ihsan-i itu bertujuan membantu ahli KWSP berusia 40 hingga 54 tahun, yang memiliki i-Akaun KWSP dan mempunyai sekurang-kurangnya RM3,000 di dalam Akaun 2, untuk mendapatkan pembiayaan peribadi patuh syariah itu dengan kadar kompetitif.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBSB Bank, Datuk Nor Azam M. Taib berkata, jumlah pembiayaan maksimum adalah RM50,000 dengan tempoh pembayaran sehingga 10 tahun.
“Pemohon perlu membuat pembayaran ansuran bulanan sepanjang tempoh pembiayaan mengikut terma yang ditetapkan oleh pihak bank.
“Ansuran bulanan Ihsan-i pada tahun pertama adalah lebih rendah kerana pelanggan hanya perlu membayar kadar keuntungan sahaja,” katanya dalam kenyataan.
Ihsan-i oleh MBSB Bank berlandaskan syariah dan menggunapakai konsep Tawarruq.
Antara kelebihan Ihsan-i adalah kadar keuntungan yang rendah, tiada caj proses dan tiada caj penamatan awal.
Ihsan-i juga akan memberi rebat atau Ibra’ atas kadar keuntungan bank sekiranya pembayaran baki pembiayaan ditamatkan lebih awal daripada tempoh yang dipersetujui.
Permohonan boleh dibuat dalam talian melalui laman sesawang www.fsa2mbsbbank.com bermula 7 April 2023.
“Kelulusan pembiayaan adalah tertakluk kepada kelayakan pembiayaan dan kedudukan kredit para pemohon,” jelasnya.
Fasiliti Sokongan Akaun 2 (FSA2) KWSP diwujudkan susulan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini bahawa kerajaan bercadang agar simpanan dalam KWSP dibenarkan sebagai cagaran untuk pinjaman bank.
Perdana Menteri menegaskan bahawa, cadangan itu hanya dibenarkan untuk individu yang terdesak memerlukan wang segera sahaja kerana kerajaan kekal dengan keputusannya tidak membenarkan lagi pengeluaran wang KWSP sebelum tempoh dibenarkan.
Susulan itu, KWSP menjelaskan, Fasiliti Sokongan Akaun 2 yang merupakan satu kemudahan, bertujuan membantu ahlinya dengan pemohon boleh mendapatkan pembiayaan maksimum telah ditetapkan pada jumlah RM50,000.
KWSP dalam kenyataan memaklumkan, semua pencarum warga Malaysia di bawah umur 55 tahun boleh membuat notis awal untuk pengeluaran umur 50 tahun atau 55 tahun, dengan syarat mereka mempunyai jumlah minimum RM3,000 dalam
Akaun 2 dan tempoh pembayaran balik adalah sehingga 10 tahun.
Fasiliti Sokongan Akaun 2 akan dilaksanakan dalam dua fasa dan ahli yang memenuhi kriteria kelayakan boleh memohon melalui bank yang mengambil bahagian iaitu MBSB Bank dan Bank Simpanan Nasional (BSN). – UTUSAN










